KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan susulan kenyataan dikeluarkan Istana Negara berhubung isu Proklamasi Darurat.
“Ini menunjukkan Kabinet yang diketuai Tan Sri Muhyiddin melanggar Perlembagaan menghina instusi raja Perlembagaan termasuk menteri di Jabatan Perdana Menteri mengelirukan Dewan.
“Oleh yang demikian, kita menuntut Perdana Menteri meletak jawatan,” ujarnya hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan pengumuman pembatalan darurat di Parlimen.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin dalam satu kenyataan hari ini.
“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat walhal belum lagi diperkenan baginda,” katanya.
Semua Ordinan Darurat dibatalkan, Anwar persoal pengumuman Takiyuddin
Terdahulu Pengumuman pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah tidak sah sekiranya belum dipersembah atau diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, Anwar juga mendakwa tindakan itu boleh mencetuskan krisis Perlembagaan kerana Kerajaan dan Perdana Menteri seharusnya mempersembahkan dan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara berkenaan terlebih dahulu.
“Saya bayangkan awal tadi, kita ditahap krisis perlembagaan sekarang ini. Saudara tahu tentang kenyataan-kenyataan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
“Saya tidak pasti sama ada, pertama hal yang diumumkan oleh menteri telah dipersembahkan atau diperkenankan kerana tidak disebut.
“Dalam membawa usul darurat, kita persembah, saya diberitahu perdana menteri, menteri-menteri, peguam negara, berapa orang datang mempersembahkan kepada Tuanku, meyakinkan Tuanku.
“Apakah pembatalan ini dibuat dengan mempersembahkan dan mendapat perkenan (Yang di-Pertuan Agong)? Saya belum pasti. Saya minta penjelasan kerana kalau ini belum berlaku pengumuman tidak boleh dibuat dengan satu bentuk penghinaan kepada Raja-Raja Melayu khususnya Agong,” katanya.
Sebelum itu, Takiyuddin memaklumkan kepada Dewan Rakyat, kerajaan membatalkan enam Ordinan Darurat bermula 21 Julai lalu.
Takiyuddin juga mengumumkan, kerajaan tidak akan menasihati Al-Sultan Abdullah untuk meneruskan Proklamasi Darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos depan
Leave a Reply