KUALA LUMPUR: Warga Israel, Shalom Avitan yang ditahan polis bersama enam pistol serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, Rabu lalu dilaporkan datang ke Malaysia untuk membunuh ketua keluarga kumpulan penjenayah seteru.
Menurut The Times Of Israel, berdasarkan laporan berita berbahasa Ibrani, suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah bersaudara Musli Brothers.
Berdasarkan laporan portal berita Mako pula, Avitan dipercayai mempunyai misi untuk membunuh Eran Haya iaitu ketua keluarga daripada kumpulan penjenayah seteru.
“Kedua-dua sindiket terbabit dalam perbalahan ganas selama berbulan-bulan. Menurut Saluran 12, rumah Avitan, di kejiranan mewah Bavli, Tel Aviv, adalah sasaran beberapa bom tangan yang dilemparkan oleh ‘orang’ Haya.”Insiden itu dilaporkan pada pertengahan Mac, dipercayai sebelum Haya dikatakan memasuki Malaysia,” katanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pistol serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, Rabu lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis.
Enam senjata api yang ditemui dalam bilik hotel suspek adalah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan dalam beg miliknya.Enam pucuk pistol bersama 200 peluru hidup yang dirampas daripada suspek lelaki warga Israel dalam serbuan polis di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada Rabu lalu.
Razarudin dilaporkan berkata, hasil soal siasat, suspek mendakwa dia datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaannya itu.
Pihak polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan dan berkemungkinan suspek mempunyai agenda lain datang ke negara ini.Susulan itu, polis dilaporkan turut menahan tiga warga Malaysia termasuk pasangan suami isteri disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini.

Leave a Reply