TAPAK perkuburan lama yang dipercayai berusia lebih 200 tahun muncul selepas paras air di Tasik Gubir dekat Sik semakin susut sejak tiga minggu lalu.
Kawasan seluas hampir sehektar itu dipercayai berada di Kampung Lubuk Kemahang yang ditenggelamkan bagi pembinaan Empangan Muda pada awal 70-an.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kota Aur, Khairul Anuar Yusop, 29, dia pergi melihat kawasan tanah perkuburan itu pada 30 Januari lalu selepas dimaklumkan oleh nelayan tasik.
Menurutnya, keadaan tasik kering kali ini agak luar biasa berbanding tahun sebelum ini apabila lebih banyak kubur dapat dilihat.
“Usia kubur ini dipercayai sudah melebihi 200 tahun dan masih terdapat waris yang pergi menziarahi kubur ini sekali setahun ketika air kering.
“Terdapat pelbagai jenis bentuk batu nisan lama di sana, ada yang masih utuh lagi dan ada yang sudah tertanggal,” katanya ketika dihubungi.
Seorang penduduk kawasan itu, Abdul Rahman Musa, 77, dia dilahirkan di kampung berkenaan pada 1943 sebelum diarahkan berpindah pada awal 50-an.
Menurutnya, kubur itu dipercayai sudah wujud pada zaman nenek moyangya dan sering menziarahi kubur itu setiap tahun ketika air tasik kering.
“Walaupun saya tidak tahu yang mana satu kubur nenek moyang saya, saya tidak akan melepaskan peluang menziarah kubur itu.
“Tak silap saya, terdapat lima kampung yang ditenggelamkan, selain Kampung Lubuk Kemahang kampung lain yang terbabit adalah Kampung Tanjung Langsat, Kampung Nyeh, Kampung Banggol Pauh dan Kampung Kalai,” katanya.
Abdul Rahman berkata, penduduk kampung itu berpindah ke merata tempat termasuk ke daerah dan negeri lain bagi memberi laluan kepada projek empangan air.
Sumber: Harian Metro

Leave a Reply