Zahid umum tarik sokongan pukul 1 pagi, sekali Nazri tampil bagi ayat padu

SEKURANG-kurangnya 32 ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) dijamin masih memberikan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada ketika ini, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau berkata sedemikian bagi menjawab desas-desus majoriti ahli Parlimen Umno dikatakan akur dengan keputusan terkini dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti Rabu malam yang memuktamadkan penarikan sokongan parti itu terhadap kerajaan PN serta-merta.

Jelas Ketua Umno Bahagian Padang Rengas itu, sokongan 32 ahli Parlimen Umno berkenaan bakal diterjemahkan dalam bentuk pengundian terhadap sebarang usul dikemukakan pada sidang Parlimen akan datang.

“Setakat pengetahuan saya, jumlah 32 ahli Parlimen Umno yang mengikut ketetapan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 iaitu menyokong kerajaan PN sehingga pembubaran Parlimen, adalah kukuh…Bahkan mungkin bertambah kepada 35 orang.

“Kalau ada yang berubah hati selepas keputusan MKT malam tadi (Rabu malam), ahli Parlimen Umno berkenaan mungkin terdiri geng yang mahu tarik sokongan seperti Zahid; Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak; Ahmad Maslan (Datuk Seri Ahmad Maslan); Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ku Li (Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah).

“Kalau umum sekarang pun tidak guna. Kita akan buktikan sokongan kepada kerajaan PN dalam sidang Parlimen akan datang, ” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hasil keputusan mesyuarat MKT pada Rabu malam memutuskan untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN serta-merta.

Selepas hampir lima jam bermesyuarat, Ahmad Zahid menegaskan ketetapan tersebut diambil berpandukan tujuh kegagalan kerajaan PN yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memenuhi aspirasi yang digariskan parti itu.

Mesyuarat MKT Rabu malam turut memutuskan Umno tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri atau kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Mohamad Nazri menjelaskan kedudukan kerajaan PN diterajui Muhyiddin masih tidak runtuh sekali pun Umno sudah memuktamadkan ketetapan keluar daripada kerajaan PN serta-merta.

Jelas beliau, kuasa menentukan kedudukan Muhyiddin dan kerajaan PN terletak di tangan ahli-ahli Parlimen dan bukannya parti.

“Saya percaya tindakan Ahmad Zahid menggunakan MKT disebabkan dia tidak berpuas hati dengan keputusan pelantikan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM). Dia sebenarnya idamkan sangat jawatan TPM itu.

“Saya juga cabar MKT untuk mencadangkan kesemua 32 ahli Parlimen yang bersama saya dipecat Umno kerana kami pastinya akan tentang keputusan itu habis-habisan, ” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Nazri turut menasihatkan Ahmad Zahid agar tidak menjadikan Umno sebagai alat untuk melepaskan diri daripada pendakwaan kes mahkamah.

“Kalau dia mahu guna alasan usul PAU 2020 telah dipinda dan memberi mandat kepada MKT, takrifan itu tidak betul kerana usul asal perlu dipinda melalui satu mesyuarat agung tahunan khas (EGM) Umno dengan notis pindaan usul perlu dikemukakan terlebih dahulu.

“Kalau Zahid berani, buat EGM untuk pinda usul asal PAU 2020…Jangan nanti akar umbi kemuka usul tukar Presiden Umno pula, ” katanya

Umno tarik balik sokongan, bukan keputusan setiap Ahli Parlimen – Pakar

Kuala Lumpur: “Ini berkaitan dengan kepercayaan kepada Perdana Menteri sebenarnya. Sebab dalam konteks ini untuk menjatuhkan sebuah kerajaan sekarang perlu membuktikan Ahli Parlimen sudah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri,” kata Pakar Perlembagaan Persekutuan Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.

Beliau berkata, pengumuman Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik sokongan serta-merta seolah-olah keputusan parti, bukannya keputusan setiap Ahli Parlimen itu.

“Sebab untuk memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri ialah Ahli Dewan Rakyat (Ahli Parlimen). Pada pendapat saya, Ahli Dewan yang hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri itu hendaklah menunjukkan dokumen sah iaitu dokumen yang diterima atau diperakui sebagai satu mekanisma undang-undang untuk menunjukkan mereka sudah hilang kepercayaan majoriti.

“Oleh kerana pelantikan Perdana Menteri dahulu berdasarkan kepada kepercayaan majoriti dan sudah dibuktikan melalui dokumen undang-undang iaitu perakuan berkanun (SD), jadi untuk menyatakan sebaliknya ketika ini ia perlu dilakukan semula,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat dua cara boleh dilakukan iaitu menunjukkan Ahli Parlimen sudah hilang kepercayaan majoriti kepada Perdana Menteri.

Keduanya, beliau berkata, SD itu mungkin dalam bentuk menunjukkan kepercayaan kepada seseorang yang lain untuk menjadi Perdana Menteri.

“Adakah Perdana Menteri Interim adalah satu daripadanya pilihan? Saya mempunyai sedikit pensyaratan kepada Perdana Menteri Interim ini.

“Sebab syarat untuk menjadi Perdana Menteri Interim ini juga, ia tidak ada peruntukkan dalam Perlembagaan. Apabila mahu melantik Perdana Menteri, seseorang itu hendaklah juga pada hemat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempunyai kepercayaan majoriti,” katanya.

Beliau berkata, jika dilihat sejarah Malaysia tahun lalu, pada awalnya ramai keliru sama ada ia adalah satu lantikan Perdana Menteri yang seperti biasa atau situasi norma biasa, atau interim dalam bentuk yang macam mana.

Katanya, ini disebabkan ia tiada dalam peruntukkan Perlembagaan.

“Jadi pada hari berkenaan (pelantikan Perdana Menteri interim tahun lalu) mungkin kita melihat kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam soal menggunakan kuasa eksekutif.

“Tetapi apabila dilihat kepada warta pelantikan Perdana Menteri Interim pada ketika itu, ia menyatakan bahawa Perdana Menteri itu dilantik di bawah Perkara 43 dalam Fasal 2.

“Perkara 43 dalam Fasal 2 itu, ia mengatakan bahawa seseorang yang menjadi Perdana Menteri itu juga hendaklah mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Jadi dari segi perundangan saya ada sedikit pensyaratan dalam konteks itu,” katanya.

Ditanya sama ada bolehkah kerajaan tumbang ketika pelaksanaan darurat masih berkuat kuasa, beliau berkata, ia boleh berlaku kerana tiada pengecualian yang dibuat dalam Ordinan Darurat mengenai boleh hilangnya kepercayaan majoriti kepada ahli Dewan Rakyat.

Beliau turut menjelaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan siapa yang akan mentadbir kerajaan.

“Dalam keadaan ini kita perlu lihat keadaan sama ada Perdana Menteri sudah sebenarnya hilang kepercayaan majoriti dahulu.

“Justeru, Yang di-Pertuan Agong pada ketika ini, pada saya tidaklah perlu mengambil tindakan sehinggalah isu politik itu dapat diselesaikan oleh orang politik sendiri.

“Jadi dalam menentukan siapa yang akan mentadbir kerajaan dan sebagainya ini, perlulah ditunggu dokumen sah atau yang bersifat perundangan atau diiktiraf dalam perundangan yang menyatakan bahawa Perdana Menteri ketika ini sudah hilang kepercayaan majoriti,” katanya.

Selain itu, Shamrahayu berkata, sekiranya Perdana Menteri merasakan beliau patut meletakkan jawatan, perlu juga memaklumkan atau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Dua jalan yang ada sekarang, sama ada daripada Ahli Parlimen itu atau daripada Perdana Menteri,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*