Dah lama tunggu kejutan hari jadi, sekali isteri bagi hadiah ‘kek kvbur’

PELBAGAI idea kreatif dilakukan untuk membuat kejutan sempena hari ulang tahun insan tersayang.

Namun kejutan luar biasa diterima seorang lelaki apabila dihadiahkan dengan kek hari jadi berbentuk k.ubur berwarna putih.

Video yang baru dikongsi di aplikasi TikTok itu barangkali kelihatan ‘menyeramkan’ untuk sambutan ulang tahun, apatah lagi kek tersebut diberikan oleh isterinya.

Lelaki berkenaan, Mas Andi Syah Sarudin berkata, dia sememangnya menantikan kejutan kek setiap kali sambutan hari jadi seperti tahun-tahun sebelumnya.

Namun lelaki berusia 37 tahun itu memberitahu, dia benar-benar tidak menyangka kejutan yang dibuat isterinya untuk majlis hari jadinya pada 21 Mac lalu berupa kek berbentuk ku.bur.

“Kebiasaannya isteri tempah kek untuk hari jadi tapi kali ini sebelum kek sampai ke rumah, isteri datang jumpa saya buat pengakuan. Dia rasa serba salah.

“Isteri terpaksa beritahu awal walaupun pada asalnya dirancang sebagai kejutan kerana bimbang saya kecil hati. Dia tunjukkan sekeping gambar kek berbentuk ku.bur.

“Mulanya saya terkejut tapi saya langsung tak ambil hati. Sebaliknya saya ketawa sebab tak terfikir sebegitu kreatif isteri nak buat kejutan untuk saya,” katanya kepada mStar.

Kek hari ulang tahun ke-37 buat Mas Andi.

Lebih mesra disapa Mas Andi, katanya, kek ditempah isterinya yang berusia 35 tahun itu mempunyai kaitan dengan tugasnya mengendalikan syarikat pengurusan jenazah di Singapura.

“Walaupun kek tu ada kena-mengena dengan kerja saya uruskan jenazah, tetapi ia sebenarnya adalah simbolik isteri menyokong kerjaya yang saya pilih dalam pengurusan jenazah.

“Isteri tidak pernah menghalang apa jua bidang yang saya cuba ceburi. Saya dulu pernah kerja offshore dalam bidang minyak dan gas sehingga sekarang menyediakan khidmat menguruskan jenazah, apa-apa dia izinkan dan sokong,” ujar warga Singapura itu.

Mas Andi berpengalaman selama enam tahun dalam pengurusan jenazah.

Berpengalaman selama enam tahun dalam pengurusan jenazah, bapa kepada dua anak itu turut bersyukur kerana kejutan kek itu sekurang-kurangnya mengingatkannya kepada kematian.

“Kerja dekat kubur ni, saya selalu baca talkin dan tazkirah kepada ahli keluarga jenazah mengingatkan kematian itu sesuatu yang pasti.

Walaupun kek tu ada kena-mengena dengan kerja saya uruskan jenazah, tetapi ia sebenarnya adalah simbolik isteri menyokong kerjaya yang saya pilih dalam pengurusan jenazah.
MAS ANDI
“Bila saya dapat peringatan ni daripada orang yang terdekat, ia amat berharga. Selama ini saya asyik mengingatkan orang lain tentang kematian.

“Pada masa sama, ia membuatkan saya tidak lupa daratan. Selama ni saya kat kubur selalu talkin, doa untuk orang tapi saya pun kena terima peringatan dan teguran daripada orang lain,” katanya yang turut menyediakan khidmat tahnik dan cukur rambut.

Mas Andi (dua, kiri) bersama isteri (kanan) dan anak-anak.

Dalam pada itu, Mas Andi yang menetap bersama keluarga di Woodlands di negara republik itu gembira menikmati kek ‘kubur’ itu kerana ia berperisa coklat yang merupakan kegemarannya.

“Kami sekeluarga makan kek tu sampai habis, sedap sebab perisa coklat. Kek ini memang satu kenangan yang tidak dapat dilupakan bagi saya.

“Sampai saya bergurau dengan isteri, saya cakap kalau tahun ini kali terakhir saya sambut hari jadi… awak jangan rasa serba salah pula. Apa pun saya bersyukur dikurniakan isteri yang baik.

“Sejak awal pembabitan saya dalam pengurusan jenazah, dia selalu mengingatkan apa niat saya melakukan kerja-kerja ini agar saya sentiasa merendah diri meskipun dikenali ramai dengan apa yang kita lakukan,” katanya.

Apa Yang Dimaksudkan Dengan ‘Orang Yang Bijak Ialah Yang Mengingati M4ti’

Orang yang sedang bermimpi tidak sedar bahawa dia sedang bermimpi sehinggalah dia bangun dari tidurnya.

Begitu juga dengan orang yang hidup, tidak sedar dunia ini ialah fatamorgana sehinggalah dia mati. Apabila mati, barulah kita akan menyedari bahawa dunia ini adalah sementara dan segala harta yang diusahakan hanyalah sia-sia jika bukan pada jalanNya.

Setiap manusia yang telah pergi menghadapNya akan terputus segala amalannya, sama ada harta yang diusahakannya, pangkat yang ada serta rumah yang didiami.

Hanya tiga perkara yang akan dibawa dan tetap mengalir, iaitu sedekah jariah, doa anak yang soleh kepadanya serta ilmu bermanfaat yang dicurahkannya.

Tidak ramai yang sedar bahawa dunia ini sementara, walaupun ramai yang tahu bahawa kematian akan datang menjengah suatu hari nanti.

Antara Sedar Dan Tahu
Ramai yang tahu mengenai sesuatu hal dalam dunia ini, sama ada tahu mengenai agama yang benar, tuhan yang satu, perihal kematian dan soal jawab di alam kubur yang bakal dihadapi suatu hari nanti.

Namun, tidak ramai yang sedar bahawa kita semua sangat hampir kepada semua itu. Ramai yang belajar untuk menghadapi peperiksaan dan memperoleh sijil semata-mata, ramai yang bekerja untuk wang dan harta serta ada yang sanggup bersekengkang mata demi dunia seolah-olah bakal hidup selama-lamanya.

Sedangkan mungkin celik mata sahaja esok, anda sudah pun berada di alam lain. Pada waktu itu, jangan meraung meminta dikembalikan ke dunia untuk beribadah dan bekerja keranaNya, kerana ia tidak akan pernah terjadi.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ
لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّا ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا ۖ وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Mafhum: “Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia).

“Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan.” Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tetap tinggal padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat). (Surah Al-Mu’minun, 23:99-100)

Jika anda merasakan apa jua peperiksaan dan deadline yang akan anda hadapi di atas dunia ini sangat dekat, ingatlah bahawa kematian lebih dekat.

Kerana apa? Kerana ia merupakan sesuatu yang tidak diketahui tarikhnya dan boleh terjadi pada bila-bila masa, sama ada anda sedar atau tidak.

Jika kita ingin menghadapi peperiksaan, pasti kita akan membuat persediaan yang secukupnya dan mengatur strategi yang sangat rapi untuk bertempur di medan perang, namun, adakah sama dengan persiapan kita untuk menghadapi kematian?

Disebabkan itu, wujudnya hadis, mereka yang bijak dan celik adalah yang sentiasa mengingati mati.

عَنْأَبِيْ يَعْلَى شَدَّادِ بْنِ أَوْسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ .قَالَ: هَذَا حَدِيثٌ حَسَ

Maksud: “Daripada Abu Ya’la Syaddad bin Aus RA, daripada Nabi SAW bersabda: “Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya).” Berkata Abu ‘Isa: “Hadis ini hassan.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi, no 2459)

Maksud Hadis
Pernyataan-pernyataan di atas bukanlah bermaksud anda perlu bersolat sepanjang hari sehingga bengkak kaki, menunggu maut datang menjemput di atas tikar sejadah atau berzikir sehingga kering lidah.

Jadi bijak dengan mengingati mati. Menurut Imam Syaddad Rahimahullah, kematian itu ialah sesuatu yang sangat mengerikan. Sakitnya adalah sangat sakit melebihi digergaji mahupun dilemaskan.

Justeru, dengan mengingat kematian, hati kita akan sentiasa berada dalam keinsafannya dan ia akan mengawal diri kita untuk berhati-hati akan setiap tindakan.

Celik akan kematian bermaksud, dalam diri kita tiada penyakit wahan. Wahan bermaksud benci akan kematian dan cintakan dunia.

Periksa semula hati kita, adakah setiap kali dibicarakan mengenai kematian, hati kita akan berasa benci dan berkata – “Tidak apa, lambat lagi maut nak datang” dan pelbagai lagi prasangka negatif seolah-olah dunia ini bersifat selamanya.

Jika ada, anda perlu segera mengubah gaya pemikiran tersebut dan berfikir kembali apa tujuan anda dihidupkan dan bagaimana pengakhiran yang anda akan tempuh.

Disebabkan itu, para ulama’ berpesan bahawa, bekerjalah kerana Allah. Setiap yang dilakukan adalah untukNya dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada yang paling besar.

Tidur, makan, berhibur, bercuti, bekerja, memiliki harta dan segala perkara yang dilakukan adalah keranaNya. Jika perkara yang dilakukan menepati syariah dan diniatkan keranaNya, ia akan diangkat sebagai ibadah dan anda akan dapat menuai hasilnya di alam sana, kelak.

Kerana dunia ini adalah tempat menanam, akhirat tempat untuk menuai.

Wallahu a’lam.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*