Selepas Isteri, Ibu Instafamous Pula Perjelas Video Dakwaan M4lukan Warga Emas

Ibu kepada instafamous yang didakwa menghina warga emas tampil memberikan penjelasan berkenaan video tular anak lelakinya.

Menerusi akaun Instagram miliknya, wanita itu telah memuat naik video penuh insiden itu dan menyatakan terdapat salah faham mengenai perkara itu.

Dia juga mendakwa video yang tular itu hanya diambil pada bahagian yang boleh mencetuskan perspektif negatif masyarakat terhadap anaknya.

“Alhamdullilah anakanda saya dan teamnya mewarisi kerjaya saya dalam bidang kebajikan.

“Rumah menempatkan gelandangan di Kuala Lumpur ini dinamakan Anjung Singgah dan dibina oleh Yayasan Kebajikan Negara @yayasankebajikannegara.

“Semasa saya bertugas sebagai Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur pada tahun 2014, pusat menempatkan gelandangan ini baru mula beroperasi dan ada antara gelandangan yang kami laksanakan operasi gelandangan ditempatkan di sini.

“Selepas saya bersara, saya selalu impikan anak-anak saya meneruskan legasi kerja kebajikan yang saya mulakan dalam keluarga sejak 1995 apabila saya berkhidmat dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Ini adalah sedutan video anak saya dan teamnya melaksanakan program keusahawanan dan motivasi bagi sebahagian gelandangan di Anjung Singgah Kuala Lumpur.

“Sayangnya hanya dipilih sedutan yang melihat dari perspektif negatif sahaja untuk diviralkan. Apa tujuan mereka?

“Hanya yang mahu dan memilih untuk berfikir secara sihat dan terbuka sahaja yg boleh mendapat jawapan yg tepat.

“Stay safe dan teruskan legasi mak untuk buat kebajikan anakanda semua,” jelasnya.

Terdahulu, tular sepotong video seorang usahawan dan instafamous lelaki di media sosial yang didakwa sengaja memalukan seorang warga emas dengan mengungkit kisah silamnya di hadapan orang ramai.
Rakaman tersebut telah mencetuskan rasa marah netizen apabila usahawan terbabit mengungkapkan sepotong ayat, “Masa muda dulu menyesal tak?” dengan nada yang dikatakan begitu sombong dalam sesi program keusahawanan dan motivasi sebahagian gelandangan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Netizen juga turut menggesa orang ramai agar memboikot jenama fesyen dan produk yang dikeluarkan oleh Instafamous itu bersama isterinya.

Sekadar info, susulan daripada video yang tular berkenaan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah memaklumkan pihak polis telah memanggil lelaki terbabit dan dia dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Usahawan tersebut yang juga suami kepada pemilik butik pakaian wanita terkenal itu dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka.

Dikompaun kerana langgar SOP

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan dijalankan mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi semalam apabila individu itu menyampaikan ceramah motivasi bertajuk ‘Ubah Hidup’ kepada 20 orang gelandangan.

Katanya, pihaknya telah memanggil individu itu ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi memberi keterangan berkaitan insiden itu.

“Kita mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,500 kepada individu itu atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika berada di pusat transit gelandangan tersebut.

“Tindakan ini adalah mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan ) Pelan Pemulihan Negara 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dalam memerangi wabak Covid-19.

Jelasnya, kegagalan mematuhi SOP membolehkan tindakan diambil di bawah undang-undang dan peraturan yang masih berkuat kuasa.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*