Majlis Pemulihan Negara: Tun M akhirnya kemuka 20 nama

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menyenaraikan nama-nama yang difikirkannya sesuai menganggotai badan ala Mageran, Majlis Pemulihan Negara (MPN) khusus untuk menangani wabak Covid-19.

Nama-nama yang disenaraikannya itu melibatkan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang merangkumi perubatan, ekonomi, perundangan, pendidikan dan politik.

Ini selepas kerajaan PN menubuhkan Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan menteri penyelarasnya Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menurut ahli parlimen Langkawi cadangan MPN ini pertama kali dibentangkan olehnya kepada Yang di-Pertuan Agong pada hari Khamis, 10 Jun lepas.

“Ketika saya memberi cadangan penubuhan MPN kepada Yang di-Pertuan Agong, saya telah memikir secara amat mendalam keahlian badan itu yang saya yakin dapat membantu Negara mengatasi krisis ini selain menyediakan rancangan jangka panjang pemulihan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Katanya, cadangan penubuhan MPN ini timbul kerana rata-rata terdapat sentimen kerajaan PN “sudah gagal amat meluas dan krisis semakin bertambah.”

Dr Mahathir juga berkata mereka yang dinamakan dalam MPN versi cadangannya itu tidak tahu atau bersetuju mengenai keanggotaan dalam badan yang berasaskan khidmat negara tersebut.

Kata Mahathir, MPN perlu menghadkan keahlian tidak lebih 20 orang, supaya “keputusan dan tindakan dapat dibuat dengan cepat.”

“Nama-nama yang hendak saya cadang dan kenapa saya cadang mereka adalah seperti berikut: Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Lin See Yan, Tan Sri Mohd Hassan Merican Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Prof Dr Jomo K Sundram.

“Selain itu, dalam bidang perubatan, saya mencadangkan: Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman, Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman, Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, Datuk Dr Musa Nordin, Datuk Dr Amar Singh HSS, Dr Kumitaa Theva Das.

“Saya juga ingin mencadang beberapa pakar perundangan yang perlu untuk memastikan segala tindak-tanduk MPN itu tidak mencabar kedaulatan undang-undang dan perlembagaan negara: Prof Emeritus Datuk Shad Faruqi, Prof Dato’ Salleh Buang.

“Untuk mengatasi masalah pendidikan, saya bercadang memberi penekanan kepada pembelajaran dari rumah dan menggunakan televisyen dan program-program yang dirakam oleh ahli-ahli akademik, guru-guru dan pendidik terbaik supaya ibu bapa mudah membantu anak mereka dan ini dapat dirangka oleh: YAM Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz Tan Sri Mohd Shukri Ab Yajid, Samuel Isaiah,” katanya lagi.

Menjelaskan lanjut, Mahathir berkata beberapa ahli politik yang dicadangkannya tidak boleh terikat dengan parti mereka.

“Saya juga ingin cadangkan beberapa nama ahli politik untuk menyertai MPN dan mereka dipilih bukan kerana politik kepartian tetapi di atas beberapa usaha yang telah mereka lakukan: Datuk Seri Azalina Othman Said, Hannah Yeoh, Ahmad Fahmi Fadzil, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,” katanya lagi.

Dr. Mahathir gesa Muhyiddin letak jawatan – Tun M

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu bertanggungjawab atas dakwaan sengaja berbohong kepada Parlimen berkenaan pembatalan ordinan darurat dengan untuk meletakkan jawatan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, malah Kabinet Muhyiddin juga sama perlu meletak jawatan.

Menurut ahli Parlimen Langkawi itu, walaupun Muhyiddin tidak membuat pengumuman berkenaan pada Isnin lalu, beliau perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan dibuat Menteri di Jabatan Perdana (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Beliau tidak berusaha memperbaikinya ketika Takiyuddin membuat pengumuman atau menghentikan Takiyuddin walaupun duduk tepat di depannya. Muhyiddin juga tidak membuat penjelasan pada hari berikutnya.

“Oleh itu, Tan Sri Muhyiddin bertanggungjawab di atas tindakan memalukan ini dan juga anggota kabinet yang lain. Beliau harus meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan anggota kabinet mesti mengikutinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.

Datuk Pengelola Bijaya Istana Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, ini sedangkan, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan daripada Seri Paduka.

Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dipersetujui sebelum ini dengan Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu berkenaan cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*