Sanggup duduk rumah enam bulan demi jaga nilai eksklusif… Faizal Hussien tak mahu sapu semua tawaran hanya sebab duit

PENINGKATAN usia tidak pernah menjadi faktor penghalang buat pelakon senior Faizal Hussein untuk terus aktif dalam dunia seni.

Menurut Faizal yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-55 pada Selasa, dia tidak pernah terfikir untuk berhenti berlakon selagi hayatnya ada.

“Saya tak pernah rasa tua. Badan saya ini rasa masih sihat dan boleh bekerja. Saya memang sentiasa aktif dan jika tidak terlibat dengan penggambaran saya banyak melakukan aktiviti lain bersama keluarga.

“Saya tidak akan ucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan. Selagi masih mampu bergerak, saya tidak pernah rasa bosan untuk bekerja.

“Dalam usia 55 tahun saya tidak pernah puas lagi bekerja. Banyak lagi watak yang mahu diterokai. Jika ada skrip yang bagus saya akan terima tawaran tersebut,” katanya kepada mStar.

Akui dirinya agak memilih dengan setiap tawaran yang datang, Faizal mahu setiap hasil kerjanya berkualiti dan memberi kesan terhadap penonton.

Itu yang membuatkan saya eksklusif dan terima tawaran kerja bukan sekadar suka-suka sahaja

FAIZAL HUSSEIN

PELAKON

Dalam masa sama, Faizal juga menolak tawaran untuk tempoh masa yang lama kerana baginya perlu ada nilai eksklusif dalam kerjaya seni.

“Memanglah saya memilih dalam tawaran kerja. Pertama saya melihat kepada tawaran bayaran dan kedua adalah skrip. Namun jika skrip bagus, saya boleh ketepikan soal bayaran yang sepatutnya.

“Mungkin sesetengah pelakon akan mengeluh jika dua atau tiga bulan tidak menerima tawaran. Tetapi saya tidak ada masalah untuk duduk rumah selama lima atau enam bulan tanpa sebarang tawaran berlakon.

“Dalam konsep bekerja, saya tidak mahu terlalu terdedah dengan banyak membintangi drama atau filem. Itu yang membuatkan saya eksklusif dan terima tawaran kerja bukan sekadar suka-suka sahaja,” ujarnya.

Faizal kekalkan konsep eksklusif dalam kerjaya.

Faizal ditemui ketika majlis pelancaran slot program sitkom Awesom TV yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Damansara pada Rabu.

Faizal bakal tampil dalam sitkom terbaharu berjudul Dak Dak Ofis yang turut menampilkan pelakon lain seperti Amy Mastura, Eyka Farhana, Ajak Shiro dan Eric Fuzi.

“Rasanya kali terakhir saya buat sitkom komedi adalah sekitar tahun 1990-an dahulu. Saya tertarik untuk terima tawaran ini kerana skrip yang bagus.

“Memang saya suka buat komedi tetap jarang diberi peluang. Rasanya orang-orang dalam industri tahu saya boleh berlakon komedi dan bagi mereka yang rindu untuk saya berlakon genre begini boleh lepas rindu dalam drama Dak Dak Ofis,” jelasnya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

Sumber :  https://www.mstar.com.my/

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*