Bahagia rumah tanpa perabot, raga ganti almari baju! Biar serba kekurangan, yang penting kemas dan bersih

SEDERHANA namun cukup bahagia.

Begitulah ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan kehidupan wanita ini yang menetap bersama keluarganya di sebuah perkampungan di tepi laut.

Sungguhpun rumah papan yang dibina di gigi air itu tidak dilengkapi perabot yang sempurna atau perkakas elektrik yang canggih, namun itu bukan alasan untuknya bermalas-malasan atau membiarkan kediamannya bersepah.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)


Menerusi perkongsian videonya di laman sosial, kelihatan ruang dalaman rumahnya begitu kemas dan sedap mata memandang biarpun serba kekurangan.

Meskipun tidak dilengkapi almari, kelihatan pakaian yang sudah siap berlipat disusun kemas di dalam bakul, manakala perkakas memasak pula digantung di tepi dinding.

Berkongsi cerita dengan mStar, Asniah Abdul Halim berkata dia sudah menetap di Kampung Landung Ayang, Kudat, Sabah sejak tiga tahun lalu.

“Sebenarnya saya membesar di sini namun kini ibu bapa dan kebanyakan adik beradik sudah tinggal di daerah lain. Ini kiranya rumah lama keluarga kami. Tetapi saudara mara saya masih ramai di sini.

ALMARI 2

Pakaian yang sudah siap dibasuh dilipat dengan rapi.

“Saya yang memilih untuk tinggal di sini. Seronok dapat tengok matahari terbit, matahari terbenam dan dengar bunyi ombak hari-hari. Rasa tenang sangat.

“Lagipun lokasi perkampungan ini dekat sahaja dengan bandar Kudat. Kira-kira 11 minit saja. Dekat dengan hospital, klinik dan kemudahan lain,” ujar wanita berusia 28 tahun ini.

Merupakan surirumah sepenuh masa, Asniah atau lebih senang disapa Yoona berkata, dia sudah dididik oleh ibunya untuk melakukan kerja-kerja rumah sejak kecil.

“Dari kecil memang perangai saya macam ini. Bukan apa, saya tak suka keadaan yang semak. Saya mengemas rumah pun untuk keselesaan diri sendiri serta keluarga, bukan untuk tatapan umum atau content semata-mata.

ALMARI asniah

Asniah gembira meskipun rumahnya tidak dilengkapi dengan perabot atau perkakas canggih.

“Alang-alang sambil buat kerja rumah, saya rakam video dan kongsi di TikTok untuk suka-suka. Saya bukan makan gaji, tanggungjawab sebagai surirumah tetap berjalan.

“Apabila share, tak sangka pula dapat sambutan malah mereka minta saya kongsi lebih banyak video kehidupan di kampung. Pada satu video saya, ada yang komen pasal perabot.

“Dia tanya, rumah macam ni tak boleh masukkan perabot ke? Sebenarnya boleh saja masukkan perabot, cuma belum ada rezeki. Kalau ada rezeki lebih, kita beli.

Saya yang memilih untuk tinggal di sini. Seronok dapat tengok matahari terbit, matahari terbenam dan dengar bunyi ombak hari-hari. Rasa tenang sangat.

ASNIAH ABDUL HALIM

“Biarpun serba kekurangan namun saya tetap mementingkan kekemasan dan kebersihan,” ujarnya sambil menambah, suaminya bekerja sebagai seorang ‘welder’.

Ibu kepada seorang cahaya mata perempuan berusia enam tahun ini menambah, dia begitu terharu dengan sambutan warganet yang tidak henti-henti memberikan komen-komen positif pada setiap perkongsiannya.

ALMARI 3

Pemandangan laut dari kediaman Asniah.

“Apa yang membuatkan saya gembira adalah apabila saya buka komen, setiap hari ia dipenuhi dengan doa-doa dan kata-kata yang positif daripada netizen.

“Saya orang biasa, jauh sekali boleh dijadikan inspirasi untuk orang di luar sana. Apa yang boleh saya kongsikan, sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan.

“Kalau kita bersyukur, itu tandanya kita bahagia. Selain itu, sentiasa bermuhasabah diri dan jangan judge orang lain,” katanya lagi.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

Sumber:Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*