Kenali Siapa Yang Teramat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson Petra, Penampilannya Raih Perhatian Rakyat Jelata

Diam tak diam, sudah dua tahun usia perkahwinan Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia (YTM) Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra di samping isteri tercinta, Yang Amat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson. Mengimbas kembali detik bersejarah tersebut, pasangan diraja ini telah melangsungkan majlis pernikahan pada Jumaat malam, 19 April 2019 dalam suasana ringkas tetapi meriah yang diadakan secara tertutup di Istana Balai Besar Kota Bahru, Kelantan.

Che Puan Sofie meskipun bukan berasal dari Malaysia dan menjalani perbezaan budaya sebelum bergelar suri hati kepada YTM Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, namun beliau dilihat bijak menyesuaikan diri. Malah biarpun baru setahun menjadi keluarga diraja, penampilan dan kemunculan Che Puan Sofie telah disedari ramai bukan hanya dalam kalangan rakyat Kelantan bahkan seluruh rakyat Malaysia.

Ini kerana penampilan yang digayakan Che Puan Sofie cukup sopan dan manis dipandang. Masih terbayang kelibat wanita kelahiran Sweden ini yang muncul di khalayak buat pertama kalinya ketika mengikuti Tengku Muhammad Fa-iz Petra mengunjungi rakyat Kelantan yang terlantar sakit dan kurang bernasib baik.

Waktu itu, Che Puan Sofie baru empat hari bergelar isteri. Lebih manis, penampilan sopannya menggayakan persalinan tradisional baju kurung biru dan berselendang polos warna senada berjaya mencvri perhatian ramai.

Begitu juga ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang menyaksikan Che Puan Sofie hadir bersama Tengku Muhammad Fa-iz Petra. Setia berada di sisi suami tercinta, beliau kelihatan cukup anggun dalam persalinan kebaya labuh songket dan selendang kuning. Pada sebelah malam pula ketika Majlis Santapan Diraja, Che Puan Sofie menggayakan baju kurung emerald green yang digandingkan dengan selendang rona senada.

Apa yang pasti, Che Puan Sofie bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik semata-mata. Sebaliknya, beliau juga seorang wanita yang tidak kekok bertemu masyarakat, aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, ligat di dapur, gemar berbasikal dan pandai menjahit. Wah, memang beruntung Tengku Mahkota Kelantan!

Menerusi perkongsian Che Puan Sofie di laman media sosial miliknya, terserlah bakat menjahit beliau. Istimewanya, mesin jahit yang digunakan adalah pemberian Raja Perempuan Kelantan, YMM Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid.

Ketika Ramadan lalu pula, Che Puan Sofie pernah menyantuni orang ramai dan membuat jualan amal ‘meat ball’ dan ‘cinnamon bun’ hasil air tangannya sendiri di bazar Ramadan di Kota Bharu. Difahamkan beliau menggunakan sebanyak 7 kilogram daging untuk jualan ‘meat ball’ berkenaan selain tidak melepaskan peluang menyediakan juadah berbuka buat suami tercinta.

Semoga Allah SWT memelihara rumah tangga YTM Tengku Mahkota Kelantan dan Che Puan Sofie.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

Sumber: nona

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*