“Bukan takut! Sekarang tahap saya dah juri”… Mas Idayu tak layan desakan netizen minta masuk GV

GARA-GARA memberikan komen pedas terhadap persembahan Sissy Iman dan Naim Daniel di minggu keenam program Famili Duo (TV3), juri tetap iaitu Mas Idayu berterusan menerima kecaman hebat netizen di media sosial.

Selain kritikan mengenai penjuriannya, ada juga netizen mencabar Mas menyertai program nyanyian seperti Gegar Vaganza (GV) untuk membuktikan dia juga mampu menyanyikan pelbagai genre lagu dalam pertandingan berkenaan.

Menjawab mengenai komen itu, Mas atau Mas Idayu Mesnun, 51, berkata dia tidak gentar untuk menyertai mana-mana pertandingan namun pengalaman selama 38 tahun dalam industri lebih melayakkan dirinya untuk berada di kerusi juri.

275256884_2373655986110708_6438198812832012064_n

Mas Idayu kongsi sudah 16 tahun duduk di kerusi juri.

“Bukan takut… itu bukan tahap saya… minta maaf! Pertandingan bukan tempat saya dah, sekarang tahap saya menjuri. Saya aktif menjuri. Sudah 38 tahun saya dalam industri dan sejak 16 tahun lalu saya jadi juri, sekarang ini baru saya terima kecaman paling tinggi.

“Seorang penyanyi atau guru vokal belum tentu boleh komen, jangan kerana tak puas hati dengan komen suruh saya masuk pertandingan. Yang duduk di kerusi juri itu tidak semestinya boleh menyanyi, pengalaman dia yang orang kena ambil,” katanya ketika dihubungi mStar.

Sementara itu, penyanyi lagu Senggol Senggolan, Cubit Cubitan ini berpendapat penyanyi yang sudah berjaya mencipta nama tidak perlu memasuki mana-mana pertandingan nyanyian lagi.

“Mereka yang dah legend tak perlu suruh masuk pertandingan. Mereka yang dah ada nama, jangan jatuhkan maruah mereka untuk masuk pertandingan. Pertandingan hanya untuk mereka yang rasa diri mereka layak sahaja,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mas menjelaskan tindakannya menutup ruangan komen di akaun Instagram miliknya membuatkan dia tidak membaca kecaman daripada netizen.

Pun begitu, dia berlapang dada menerima segala kata-kata tersebut bagi memastikan peserta di dalam Famili Duo menunjukkan persembahan yang bagus setiap minggu.

Makilah mereka sebanyak mana sampai dia orang puas… sampai terputus dia orang punya bil telefon atau habis topup mereka.

MAS IDAYU

PENYANYI

“Saya mengalu-alukan komen sesiapa sahaja yang nak memaki dan mencaci saya. Sejak beberapa hari ini saya banyak terima kata-kata kesat daripada netizen. Syukur Alhamdulillah, buatlah banyak-banyak lagi.

“Makilah mereka sebanyak mana sampai dia orang puas… sampai terputus dia orang punya bil telefon atau habis topup mereka. Paling penting, peserta Famili Duo bagus,” ujarnya.

Mas bagaimanapun berkata dia tidak kisah jika ada peserta Famili Duo membenci dirinya namun berharap mereka bertahan sehinggalah program berkenaan berakhir.

“Saya harap peserta Famili Duo bertahan dahulu sampai habis program ini. Kalau selepas ini dia orang nak benci saya pun terpulang.

311141571_638637261212824_6145095833246405170_n

Mas Idayu dan Ajai sebagai juri tetap Famili Duo.

“Yang bagi markah saya dan juga Ajai, bukan netizen ataupun sesiapa yang berkokok dekat luar itu. Apa pun saya harap caci maki yang saya terima ini membuatkan Sissy Imann dan Naim Daniel lebih bersemangat sebab banyak yang sokong mereka ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Mas memberi kritikan hebat kepada persembahan Sissy dan Naim menerusi lagu Jampi nyanyian Hael Hussaini kerana menganggap nyanyian mereka sangat kasar dan tidak sedap.

Susulan itu, Mas menerima kecaman hebat daripada netizen dan beberapa selebriti yang tidak senang dengan cara penjuriannya itu.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

Sumber : Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*