Warga emas putih mata simpanan hampir RM3.5 juta lesap

SEORANG wanita warga emas berputih mata apabila ditipu hampir RM3.5 juta selepas melaburkan simpanannya dalam skim pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, mangsa yang berusia 60-an membuat laporan polis pada Rabu selepas menyedari dirinya ditipu.

“Mangsa mendakwa menerima pesanan ringkas daripada nombor tidak dikenali pada Januari lalu yang menawarkan skim pelaburan pertukaran mata wang asing (Forex) yang menjanjikan pulang lumayan.

“Dia percaya individu yang berkomunikasi dengannya dan memutuskan untuk memindahkan wang ke beberapa akaun menerusi 60 transaksi,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Malik berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas menyemak laman web yang menawarkan skim itu dan mendapati ia tidak wujud.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

“Pihak polis menasihatkan orang awam supaya membuat semakan dengan pihak berkuasa dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum menyertai apa-apa skim pelaburan atau skim cepat kaya untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Sumber : mstar