Isteri berpantang di kampung, suami galak buat angkara! Kantoi dengar suara perempuan jawab telefon waktu sahur

RASA sakit ketika bersalin belum lagi hilang, kini wanita itu terus diuji apabila si suami berkelakuan curang di belakangnya.

Lebih memilukan, kecurangan suami terbongkar di bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan.

Menurut wanita itu, dia baru melahirkan anak dan kini sedang berpantang di rumah ibunya.

Namun dia akur suaminya terpaksa berjauhan kerana tuntutan kerja.

Wanita tidak dapat menahan kesedihan. -Gambar hiasan

Walau berjauhan antara satu sama lain, mereka berdua tetap berhubung pada bulan Ramadan ini lebih-lebih lagi ketika waktu sahur.

“Suami aku kat rumah kami sebab kena kerja. Disebabkan ini, bulan puasa suami aku minta kejutkan (telefon) dia bangun sahur,” katanya.

Menerusi satu luahan di laman X, wanita itu bagaimanapun berdepan dengan situasi yang tidak pernah dijangkakan selama ini sejak dia dan suami mendirikan rumah tangga.

Semuanya bermula daripada satu panggilan telefon kepada suaminya pada suatu pagi.

“Tapi semalam aku telefon, yang angkat tu perempuan. Dan perempuan tu terkejut apabila dengar suara aku dan terus tutup,” ujarnya.

Kejadian yang berlaku tanpa disangka-sangka itu bagaimanapun tidak diketahui suaminya, sekali gus timbul tanda-tanya dalam dirinya apakah yang berlaku sebenarnya.

“Suami aku macam tak tahu apa-apa. Aku tak nak tanya sebab nak dia mengaku sendiri. Tapi aku rasa perempuan tu tak cerita kat suami aku.

“Macam mana aku nak bersemuka dengan suami aku? Aku takut aku meroyan, kasihan kat anak aku… aku baru je bersalin, mental aku penat,” luahnya meraih simpati.

Bagaimanapun wanita itu menyedari berlaku perubahan pada suaminya sejak dia balik ke kampung untuk berpantang.

“Aku jaga anak ni, dia tanya khabar anak apabila aku telefon je. Patutlah dia tak telefon aku langsung. Rupanya bawa balik perempuan ke rumah kami.

“Remuk hati aku ni. Penat aku kandung anak ni sembilan bulan. Aku dalam pantang, dia boleh bawa perempuan lain masuk rumah dan curang,” katanya lagi.

Hubungan suami isteri semakin renggang. -Gambar hiasan

Di ruangan ciapan balas, netizen bersimpati dengan nasib yang dialami wanita itu, apatah lagi mengenangkan sambutan Aidilfitri bagi pasangan itu pada tahun ini pastinya berbeza.

Malah, ada yang menyarankan wanita itu mendapatkan kepastian terlebih dahulu dan menghubungi jabatan agama sekiranya suami benar-benar membawa wanita lain ke rumah.

“Salah satu sebab saya berpantang di rumah sendiri. Ibu saya kata biar dia yang datang rumah saya sebab dia kata suami kena ada masa saya berpantang, biar dia belajar.

“Sekarang kau pergi periksa dulu, betul atau tidak. Buat spot check. Jangan datang siang-siang, datang malam untuk kepastian.

“Ni kalau suami aku, tak cakap banyak, aku pergi rumah tu aku bawa sekali jabatan agama, famili dia, famili aku pergi serbu masa tu juga,” komen netizen.

Sebagai peringatan, perbuatan berzina itu dilarang dalam Islam dan berdosa besar, maka semua pihak perlu menjauhinya.

 

 

Sumber : mstar