Dua anak (beradik) terkorban selepas sebuah motosikal dinaiki mereka dipercayai dilanggar lari sebuah pacuan empat roda di Kilometer (KM) 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini, pagi tadi.
Kisah mengenai dua beradik iaitu Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh Norazlan, 13, meninggal dalam nahas itu meruntun hati warganet.
Dua anak terkorban, Hasrat ibu beli baju raya tak kesampaian
Lebih meruntunkan apabila hasrat ibu kepada kedua-dua mangsa untuk membeli baju raya sempena Aidilfitri pada malam ini tidak kesampaian apabila anaknya maut dilanggar lari.
Memetik BH Online, Norzalifa Mohd Yusof, 35, berkata, mereka sekeluarga sudah merancang dan sepatutnya membeli pakaian raya pada malam ini. Namun, takdir telah menentukan dua anaknya meninggal dunia dalam nahas terbabit.
“Adik (Marikh) cakap dia seronok, memangdangkan raya lagi seminggu dan dia selalu tanya tahun ni tema baju raya keluarga kami apa.
“Katanya sebab cikgu sudah pesan kena pakai baju raya seminggu selepas raya, ada sambutan di sekolah,”ceritanya.
Foto: BH Online
Kongsinya lagi, mereka sekeluarnya memang ada merancang untuk membeli baju raya pada Rabu malam, namun tidak kesampaian kerana suami kepenatan pulang dari tempat kerja.
“Malam tadi pula nak pergi beli tapi kami pula tonton televisyen dan disebabkan itulah malam ini sepatutnya kami beli baju raya,”katanya ketika majlis pengebumian dua anaknya di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Perik, Enggor, di sini.
Terima panggilan dua anak terbabit kemalangan
Cerita Norzalifa, ketika kejadian dia yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah di Kuala Kangsar sudah sampai di tempat kerja.
Kemudiannya, dia menerima panggilan dari kenalan yang kebetulan melalui tempat kejadian dan menyatakan dua anaknya terbabit kemalangan serta maut di lokasi kejadian.
Ketika itu, dua anaknya itu sedang dalam perjalanan menaiki motosikal menuju ke sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, Kuala Kangsar.
Sementara suaminya, Norazlan Tajuddin, 37, yang bekerja kampung sedang berada di rumah sementara menunggu waktu masuk kerja jam 9 pagi.
Sahur pun sempat tanya tema raya
Ibu kepada empat anak itu berkata, Marikh sempat mengulagi pertanyaan mengenai warna tema raya keluarga mereka sempena Aidilfitri sewaktu sedang bersahur.
“Waktu sahur tadi dia (Marikh) tanya lagi “mama hari raya ini nak tema apa?” Saya sekadar nyatakan belum tahu lagi dan nyatakan “tunggu mama dapat gaji, kita beli. Masa sahur tadi dia (Marikh) sudah bersiap pakai baju sekolah.
“Masa sahur tadi pun lain sikit sebab selalunya kami bersahur di dapur, namun pagi tadi kami bersahur di depan (ruang tamu). Bersahur tadi semua kami bersama makan di depan, tak macam selalu bersahur di dapur yang sempit, dengan seorang demi seorang datang makan bersahur di dapur.
“Semalam sewaktu berbuka puasa yang bongsu (Marikh) ada juga bergaduh manja dengan saya, katanya dia nak kari patin tempoyak. Sebelum berbuka itu dia pun ada katakan yang dia nak makan banyak waktu berbuka,” katanya.
Dia bagaimanapun reda dengan pemergian dua anaknya di hari baik iaitu Jumaat dan bulan Ramadan serta dalam perjalanan menimba ilmu ke sekolah.
Jenazah dua beradik yang juga anak kedua dan bongsu daripada empat beradik itu disolatkan di Masjid Kariah Salak (U), Kampung Perik, di sini oleh kira-kira 200 jemaah selepas solat Jumaat tadi sebelum selamat dikebumikan dalam satu liang kira-kira jam 3.20 petang tadi.
Hebatnya ujian! Moga ibu tabah
Kisah duka itu berjaya meruntun hati warganet dengan mendoakan agar keluarga mangsa terutama si ibu tabah dan kuat dalam menjalani dugaan hidup.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Era TV
Sumber/ Kredit : OMM
Leave a Reply