“Cikgumu Kafir Nakk” – Guru Dapat Hadiah Tasbih Dan Sejadah, Anak Murid Ingat Muslim

TANGGAL 16 Mei setiap tahun begitu istimewa kerana para pelajar mengambil peluang meraikan insan bernama guru dengan ucapan penghargaan dan pemberian hadiah..

Sempena Hari Guru, bermacam kisah dan kerenah pelajar dalam usaha menghargai guru kesayangan masing-masing dapat kita lihat dikongsikan di media sosial.

Seorang individu bergelar guru di Twitter ada berkongsikan pengalaman menyambut Hari Guru semalam yang ternyata telah mencuit hati netizen.

Dalam perkongsian itu, dia memaklumkan telah menerima hadiah selembar sejadah dan tasbih digital daripada salah seorang anak muridnya.


Walaupun menghargai pemberian ini, tetapi hadiah yang diberikan murid di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini dirasakan tidak sesuai dengan agamanya.

Perbualan antara Jasli dan pelajar yang memberikan hadiah berkenaan.

“Anak murid bagi sejadah dan tasbih digital.

“Masalahnya cikgumu kafir nak…” jelasnya dalam ciapan dikongsikan di X.

Selepas perkongsiannya menjadi tular, Jasli menjelaskan situasi sebenar dengan berkongsi tangkap layar perbualan dengan murid tersebut.

Menurut Jasli, dia menerima hadiah tersebut daripada pelajar kelas lain.

“Saya sudah jelaskan tau semua petang tadi (Khamis). Ini bukan kali pertama juga. Saya tak larat nak terangkan dekat murid yang saya tak mengajar.

“Kalau budak bagi salam, saya jawab je sebab ustaz-ustaz pun cakap tak salah,” katanya menjelaskan keadaan.

Menerusi perbualan Jasli di WhatsApp bersama pemberi hadiah itu, murid berkenaan dilihat meminta maaf atas salah faham yang berlaku.

Difahamkan, kekeliruan timbul apabila guru tersebut memiliki wajah seperti orang Melayu ditambah pula dengan namanya, Jasli bin Jamil.

Kalau budak bagi salam, saya jawab je sebab ustaz-ustaz pun cakap tak salah.

JASLI

“Ye la sir muka sudah macam Islam dan nama pun sama tu yang saya keliru,” jelas pelajar tersebut.

Jasli turut memaklumkan mengenai asal usulnya yang mana dia merupakan Orang Asli.

“Ramai tanya asal usul saya. Saya Orang Asli. Nama diberi Jasli bin Jamil.

Komen netizen di X.

“Memang ada bin semua adik beradik. Arwah ayah saya pun berbinkan datuk saya,” katanya.

Hantaran dibuat ini meraih perhatian pelayar di X yang memberikan cadangan kepada Jasli.

Rata-ratanya memberikan cadangan supaya guru Bahasa Inggeris itu meletakkan hadiah itu di surau atau menjadikannya sebagai alas.

Menurut Jasli, dia bercadang untuk meletakkan sejadah dan tasbih digital berkenaan di surau di hadapan rumahnya.

 

Sumber: Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*