Ustaz Don ‘Direhatkan’ Daripada Program Salam Baitullah

Tiada angin tiada ribut, kini timbul pula isu mengnai pendakwah popular, Ustaz Don Daniyal ‘direhatkan’ daripada program yang sinonim dengan musim ibadah haji, Salam Baitullah ekoran beberapa kontroversi yang terpalit dengan dirinya.

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman dalam satu kenyataan berkata, Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal bin Don Biyajid, 40, ‘direhatkan’ untuk meredakan keadaan yang tegang di platform media sosial.

“Untuk meredakan keadaan, saya sudah arahkan ‘team’ Salam Baitullah untuk ‘rehatkan’ dulu Ustaz Don. Jangan tanya apa saya rasa dan fikir,” tulisnya dalam ciapan hari ini.

Beliau mengambil keputusan itu untuk mengelakkan perbalahan berpanjangan dalam kalangan netizen di media sosial.

“Beliau juga dinasihatkan agar tidak mengundang kontroversi. Beliau akur. Pimpinan tertinggi barisan pengarang juga ada di lokasi menentukan semua juruacara mengikut skrip. Kita doakan yang baik-baik,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi turut berpesan kepada orang ramai agar mengadakan perbincangan secara terbuka dan sopan.

Katanya, kebanyakan pengguna media sosial kurang menghormati pandangan orang lain sama ada perkara itu betul atau pun tidak.

“Kebijaksanaan dan intelektual dalam kalangan orang kita mungkin masih jauh. Yang penting nampak tegas dan belasah. Begitulah,” tulisnya.

Terdahulu, kecoh di Facebook apabila seorang pensyarah kanan Jabatan Pengajian al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Islam Malaysia membuat teguran terbuka kepada seorang pendakwah dipercayai Ustaz Don.

Didakwa menyebarkan cerita serta hadith palsu.

Lebih hangat lagi, pendapat tersebut turut dikongsi semula oleh seorang pempengaruh dikenali sebagai @ZacZakirin13 yang turut mendakwa Ustaz Don sering berkongsi kisah-kisah palsu bersandarkan Nabi Muhammad SAW.

Semalam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan status hadis riwayat cinta pertama Rasulullah SAW berkaitan kisah Ummu Hani’ dimana penceritaan Ustaz Don dianggap lemah dan hadis digunakan adalah tidak bersumber.

Ustaz Don sebelum ini juga ada mengeluarkan kenyataan tentang dakwaan dirinya menggunakan hadis palsu dalam satu podcast sebuah radio tempatan.

Katanya, dia tidak mempunyai niat langsung untuk menyeleweng umat Islam bahkan semua buku-buku yang dirujuk adalah sahih menurut ulama’ nya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Era TV

Sumber/ Kredit : Kosmo

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*