BEBERAPA hari lalu tular di laman sosial seorang wanita tidak berpuas hati dalam pembahagian daging korban di sebuah masjid terkenal di Sungai Petani, Kedah.
Dalam hantaran yang dimuat naik pendakwah yang juga salah seorang ahli jawatan kuasa Masjid Madad, Ustaz Yaakub Yusra Yusof, peserta ibadah korban berkenaan ada meminta bahagian daging lembu meskipun telah dimaklumkan mengenai pembahagian dilakukan kepada golongan yang berhak.
Biarpun sudah memberikan penjelasan, wanita ini tetap mempersoalkan cara pembahagian daging korban.
Bahkan, menerusi mesej yang dihantar, wanita itu mengkritik cara kerja dan pembahagian daging-daging haiwan korban yang didakwanya sebagai tidak adil.
Makcik nak kaki, hati, perut & paru…Kalau tak bagi, 1 helai bulu pun makcik tak halalkan
“Ni mak cik nak habaq makcik nak kaki, nak perut, nak hati, nak paru. Kelmarin kata dalam resit tulis nak daging saja. Hari ini mak cik tulis semua.
“Kalau tak bagi satu helai bulu pun mak cik tak halalkan. Bukan berkira tapi tegas pada golongan faham agama. Cakap lain buat lain,” ujarnya menerusi mesej.

Difahamkan pihak masjid sudah menerangkan tentang pembahagian daging yang mana empat bahagian daging korban wanita itu telah diserahkan kepada penerima yang telah disenaraikan.
Ada baki 3 peserta lain, jadi memang tak boleh nak ambil semua bahagian yang diminta
Menerusi penjelasan lanjut, Ustaz Yaakub berkata sebenarnya akad pembahagian dengan semua penama sudah dibuat sebelum penyembelihan lembu dilakukan. Mengikut akad tersebut juga, sudah dinyatakan bahawa penama akan mendapat 1/3 bahagian manakala selebihnya bakal diagihkan kepada golongan yang layak.
Meninjau ke ruangan komen, ramai netizen meluahkan rasa terkejut gara-gara melihatkan sikap individu yang tidak memahami erti ibadah korban. Ujar mereka:
“Apabila tiada ilmu memang susah. Pengajaran buat semua termasuk saya.”
“Saya buat korban saya serahkan 100 peratus kepada orang.”
“Allahuakhbar. Mesti peserta tu tak faham. Saya pun buat korban seekor lembu dapat 1/3, yang lain kita serah kepada masjid untuk uruskan untuk orang yang layak.”
Sumber: Sinarplus

Leave a Reply