Usia bukanlah satu halangan untuk terus menimba ilmu dan menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi di universiti.
TIDAK semua orang dapat menyambung pengajian tepat pada masanya. Selain dihambat masalah kewangan ada juga yang berhadapan seribu satu halangan untuk menyambung pengajian.
Bukan lewat setahun dua, sebaliknya terdapat juga sebahagian ahli masyarakat hanya mampu menyambung pengajian sesudah bekerja.
Atas apa pun alasannya, peluang pembelajaran sebenarnya terbuka luas untuk setiap orang selagi ada minat dan keazaman.
Fauzi Nawawi menyambung pengajian
Usia dan kesibukan kerja bukan penghalang buat pelakon Fauzi Nawawi menyambung pengajian ke peringkat diploma dalam bidang Koordinasi Pengarahan Filem di Meatech Creative Academy.
Fauzi atau Mohd Fauzi Mohd Nawawi, 51, sebaliknya berkata, semangat isteri iaitu Lisdawati pendorong dia berazam mencapai sesuatu dalam kehidupannya.
Malah bapa kepada lapan cahaya mata ini mahu memberi contoh terbaik buat kesemua anak-anaknya.
“Saya menyambung pelajaran kira-kira dua tahun lalu. Apabila anak-anak sudah besar, saya rasa perlu buat sesuatu untuk bagi contoh yang baik buat mereka semua.
“Isteri juga adalah penyokong saya mencapai kejayaan ini. Jadi saya harap dapat menjadi contoh agar anak-anak terinspirasi untuk mendapatkan segulung ijazah dalam hidup mereka.
“Saya ada lapan orang anak dan sebagai ketua keluarga, kenalah beri contoh terbaik,” katanya.
Fauzi diraikan dalam Majlis Konvokesyen Meatech ke-6 yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, Fauzi berharap keputusan menyambung pelajaran dapat menutup tanggapan segelintir tentang golongan selebriti tidak mementingkan pelajaran.
Fauzi dan Darling (kanan) berkongsi kegembiraan tamat pengajian.
Namun pengorbanan masa dan tenaga selama ini ternyata berbaloi dan kini mampu berbangga dengan pencapaiannya.
“Biasalah bila usia semakin meningkat, rasa malas nak belajar itu memang ada. Itu perlu saya lawan selama tempoh pengajian ini.
“Dalam masa sama saya juga sibuk dengan penggambaran dan jadual kerja lain. Perlu susun masa dengan betul supaya dapat seimbangkan semua perkara,” jelasnya.
Selain Fauzi, pelakon dan penerbit Darling Ngasri juga berjaya meraih diploma dalam bidang sama.
Sumber: MStar

Leave a Reply