‘Terangkat Sampai Ke Siling’- Pelajar Malaysia Kongsi Detik Cemas Dalam Pesawat Singapore Airlines.

SEORANG penumpang dari Malaysia berkongsi detik cemas apabila penerbangan Singapore Airlines (SIA) SQ321 yang berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow di London berdepan gelora udara (turbulent) kuat.

Keadaan pesawat tidak stabil sebelum ia mula bergegar.

Ketika penerbangan dari London, United Kingdom ke Singapura hanya berbaki kira-kira tiga jam, seorang pelajar tempatan, Dzafran Azmir hanya berasakan keadaan pesawat tidak stabil sebelum ia mula bergegar.

Lelaki berusia 28 tahun itu kemudiannya hanya mampu memeriksa pemakaian tali pinggang keledar meskipun penumpang lain tidak berbuat demikian.

“Pesawat menjunam secara tiba-tiba sehingga mereka yang duduk dan tidak memakai tali pinggang keledar tercampak (melambung) ke bahagian siling pesawat.

“Ada yang terhantuk kepala di kabin bagasi sehingga bahagian itu kemek. Mereka turut tercampak ke ruang-ruang lain, terdapat lampu serta topeng oksigen terkeluar dan pecah..

“Telefon bimbit saya terlepas jauh dari genggaman dengan barangan lain seperti kasut turut berselerak akibat gangguan itu,” katanya.

Akibat insiden itu, seorang penumpang warga Britain maut manakala 71 yang lain cedera selepas kapal terbang itu melakukan pendaratan cemas di Bangkok, Thailand.

Penumpang yang meninggal dunia bersama yang cedera dibawa ke Hospital Samitivej Srinakarin di Bangkok, dengan beberapa mangsa menjalani pembedahan pada malam Selasa.

Enam cedera parah, 39 separa kritikal dan 26 lagi cedera ringan, menurut hospital.

Menurut laporan yang dikeluarkan, terdapat 16 rakyat Malaysia dalam penerbangan tersebut.

Keadaan di dalam pesawat selepas penerbangan SIA berdepan kejadian gelora udara. -Foto X

“Kru dan individu yang berada di dalam tandas merupakan mereka yang paling terkesan kerana setelah pendaratan dibuat, kami dapati mereka tidak dapat bangun,ramai yang cedera di kepala dan tulang belakang.

“Kapten memaklumkan penumpang yang dia melakukan pendaratan kecemasan di Bangkok. Sebaik pesawat tiba di landasan, jururawat dan penyelamat datang untuk memeriksa dan memberikan bantuan kepada mangsa yang cedera,” katanya.

Tambahnya lagi, dia melihat lapan mangsa diusung keluar menggunakan pengusung (strecher) melalui pintu kecemasan.

“Saya tidak rasa mereka menjangka betapa teruknya keadaan. Proses untuk memindahkan penumpang mengambil masa 90 minit,” kata Dzafran.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Era TV

Sumber/ Kredit : Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*