PENYAMPAI berita TV3, Azaria Tagaya berkata dia menerima banyak mesej pertanyaan daripada pengikut yang mahukan tip dan panduan untuk menjadi seorang pembaca berita.
Menurut Azaria atau nama sebenar Azaria Tagaya Norio Tagaya, 36, kebanyakan pertanyaan itu datang daripada golongan remaja yang meluahkan hasrat mahu mengikut jejak langkahnya bergelar seorang personaliti televisyen.
“Ada ramai DM saya tanya macam mana nak jadi pembaca berita… adik-adik lepasan sekolah tanya perlu ke belajar dalam jurusan komunikasi media? Saya kata itu kelebihan… tapi tak semestinya kerana ada sahaja rakan sekerja lain yang bukan datang dari lulusan berkenaan.
“Bagi saya yang paling penting adalah minat dan bakat, itu adalah keutamaan! Soal rupa pun bukan keutamaan sebab kalau ada muka cantik sekalipun tapi baca tak sedap susah juga.
“Sekarang ini di media sosial ramai sahut cabaran baca berita… baguslah kerana mereka boleh ketengahkan bakat yang ada, mana tahu satu hari nanti boleh diangkat sebagai pembaca berita baharu,” katanya kepada mStar.
Azaria merupakan pembaca berita basa Melayu dan Inggeris di TV3.
Menerusi aplikasi TikTok ramai pengguna dilihat menyahut cabaran membaca berita dengan cara tersendiri.
Rata-ratanya memiliki bakat terpendam sebagai penyampai berita dan boleh bertutur dengan baik serta penuh keyakinan diri.
Sementara itu, personaliti TV3 berdarah kacukan Melayu, Jepun dan Pakistan ini berkata seorang pembaca berita perlu cakna dengan isu semasa dan banyak membaca berita-berita semasa.
Selain itu, mereka juga perlu bersikap profesional ketika membacakan berita secara langsung di televisyen.
“Nak jadi pembaca berita, pertama sekali kena ambil tahu pelbagai isu semasa contohnya sebelum ini saya kurang tahu mengenai sukan tapi selepas berkecimpung dalam bidang ini saya kena ambil tahulah… nama pemain sukan antarabangsa dan segala aspek supaya orang faham apa kita sampaikan.
“Kita juga kena banyak buat kajian tentang sesuatu isu… sebelum baca berita itu, saya akan tengok dahulu berita antarabangsa bagi memastikan sebutan nama dan info-info lain tepat.
Pembaca berita perlu mempunyai pengetahuan luas mengenai isu semasa.
“Pembaca berita juga kena pandai jaga emosi… contohnya baca berita mengenai pemergian seseorang memang kita rasa sedih! Apabila baca berita fasal kekejaman Israel di Palestin, saya pun rasa marah sekali… namun walau apa keadaan kita kena profesional dengan sorokkan perasan itu.
“Ekspresi muka pembaca berita memainkan peranan penting. Kalau baca berita serius kena la muka serius dan begitulah sebaliknya!” ujarnya.
Azaria juga berbakat besar dalam bidang pengacaraan.
Fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris, Azaria yang berpengalaman selama tujuh tahun sebagai pembaca berita berkata kedua-dua bahasa mempunyai cara penyampaian berbeza.
“Buat masa ini saya seorang sahaja di TV3 yang ditugaskan membaca berita dalam bahasa Melayu dan Inggeris… tidaklah terlalu sukar cuma style bacaan untuk kedua-dua bahasa berbeza dan ada lenggok dia sendiri jadi kena banyak berlatih!
“Selain baca berita, saya juga mengendalikan program berbahasa Inggeris iaitu Money Matter yang membincangkan mengenai ilmu kewangan, jadi kena belajarlah mengenai program tersebut,” katanya yang merupakan lulusan komunikasi massa dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! GK
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @GengKepoh
Sumber : Mstar
Leave a Reply