Baru minggu lepas sudah hantar ayam, Wanita ni mtk lagi bantuan. Kali ni siap bagi senarai

PETALING JAYA – Tangkap layar senarai barangan yang diminta seorang pemohon bantuan mengundang kecaman ramai sejak ditularkan dalam pelbagai media sosial semalam.

Pengusaha kafe, Nur Ain Nadyan yang memuat naik hantaran berhubung perkara itu berkata, dia berdepan pelbagai ragam individu yang menghubunginya untuk meminta bantuan termasuk ada yang pernah memohon bantuan televisyen, peti sejuk dan mesin basuh.

Terbaharu seorang wanita menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp meminta senarai keperluan barangan basah dan kering seperti daging tiga kilogram (kg), sotong besar 1kg dan kicap kipas udang.

“Kes malam tadi ringkas sahaja jawapan ambo (saya). Tunggu dia balas 24 jam belum balas lagi.

“Maaf. ambo cuba bersopan. Tapi ambo pun ada rasa penat. Minggu lepas sudah hantar ayam, barang basah sikit,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Nur Ain, 34, ketika dihubungi Kosmo! berkata, dia secara sukarela mengusahakan bank makanan di Cheras dan Kota Damansara selain mengedarkan barang keperluan harian kepada golongan memerlukan.

“Kami cuba membantu mereka secara berperingkat. Walaupun ketiadaan dana yang mencukupi dari luar, kami cuba menampung kekurangan itu daripada hasil perniagaan kami.

Tangkap layar mesej seorang wanita melalui apliksi WhatsApp yang meminta senarai barang basah dan kering untuk dihantar ke rumahnya.
“Saya juga ada menyediakan perkhidmatan memandikan pesakit warga emas secara percuma sebelum ini. Tetapi ia terpaksa dihentikan buat sementara waktu kerana tulang bahu saya patah,” jelasnya.

Hantaran itu dikongsi lebih 3,000 kali dengan rata-rata netizen menasihati pemohon bantuan supaya tidak mengambil kesempatan sedangkan ramai lagi orang yang lebih susah lebih memerlukan bantuan tersebut.

“Daging, sotong, udang. Makanan kayangan. Beras, kicap, tepung ada jenama spesifik. Telur ada gred. Saya baca rasa tebal pipi dan malu,” komen netizen bernama Aina Nik

“Saya yang bekerja pun fikir banyak kali kalau rasa hendak beli sotong dan udang banyak-banyak. Amboi dia senang pula minta,” balas Mex Sya.

“Belajarlah turunkan gred apa yang kita makan. Kurangkan kehendak dan dahulukan keperluan. Ya memang sukar bila sebelum ini gaji kita RM3,000 atau RM4,000 sebulan bila diuji baru sedar dan tahu,” ujar Rozi Dira.

Program bakul makanan pastikan rakyat terbela

Kalangan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyifatkan peruntukan RM300,000 untuk setiap wakil rakyat bagi program bakul makanan sebagai tepat pada masanya untuk membantu rakyat yang kini berdepan cabaran luar jangka akibat pandemik COVID-19.

Mereka berpendapat peruntukan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) itu penting bagi menterjemahkan komitmen kerajaan melalui wakil rakyatnya untuk membantu orang ramai meneruskan kelangsungan hidup sekali gus memastikan kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata bantuan tambahan itu diyakini dapat meringankan beban masyarakat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Saya sarankan kepada orang ramai supaya membantu wakil rakyat dengan membuka mata, melihat keadaan sekeliling dan menyalurkan maklumat mereka yang memerlukan bantuan.

“Malah, orang ramai disaran menyumbang masa dan tenaga menolong Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membantu mereka yang memerlukan.

“Ini bukan masa untuk berpolitik. Ini adalah masa untuk kita jaga kita tanpa mengira agama, bangsa dan pendirian politik,” katanya kepada BH.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, pula berkata peruntukan berkenaan sangat bermakna khususnya kepada penduduk di luar bandar yang rata-ratanya bekerja sendiri atau berniaga secara kecil-kecilan. Ini kerana kebanyakan daripada mereka kurang menerima manfaat daripada insentif lain PEMULIH seperti i-Citra dan moratorium.

“Di Pasir Mas kita ada senarai 10,000 penerima yang siap sedia untuk diagihkan bakul makanan dengan anggaran kos satu bakul antara RM30 ke RM40. Insya-Allah peruntukan RM300,000 ini mungkin saya akan tambah kira-kira RM50,000 lagi menggunakan peruntukan pusat khidmat ahli Parlimen,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, peruntukan bakul makanan itu akan merancakkan usaha mengagihkan bantuan bakul makanan yang digerakkan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sejak awal pandemik COVID-19 melanda.

“Di Parlimen Arau ada 16,000 rumah, kalau RM300,000 kita boleh agih kepada kira-kira 6,000 rumah sahaja. Tetapi saya bukan merungut, sebaliknya kita akan agih mengikut keutamaan dahulu,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menghargai peruntukan yang disalurkan itu bagi membantu rakyat yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.

Wakil rakyat daripada AMANAH itu berkata, sebanyak 6,000 bakul makanan boleh disediakan menerusi peruntukan terbabit untuk diagihkan kepada rakyat di kawasannya.

“Dalam konteks negara sedang bergelut dengan pandemik ini, peruntukan yang diberikan adalah munasabah walaupun jika diikutkan jumlahnya tidak begitu mencukupi untuk membantu semua rakyat di kawasan saya.

“Apa pun saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan peruntukan ini. Sedikit sebanyak dapat membantu mengagihkan bantuan makanan kerana semua orang terkesan, bukan sahaja golongan B40.

“Kita tidak mahu berpolitik, ini adalah keperitan dan derita ditanggung rakyat. Saya berharap bantuan ini dapat disalurkan segera. Saya sendiri akan pastikan bantuan ini disampaikan terus kepada rakyat sebaik peruntukan diterima,” katanya.

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid pula berharap, peruntukan itu dapat segera disalurkan kerana rakyat amat memerlukan bantuan ketika ini.

“Saya bersyukur jika kerajaan mahu menyalurkan peruntukan ini kerana kini program bakul makanan paling banyak diagihkan kepada rakyat terkesan. Peruntukan ini boleh menambah kebaikan untuk diberikan kepada rakyat. Semua pihak kini sedang berusaha membantu rakyat. Jika peruntukan ini dapat disalurkan lebih cepat, lagi bagus,” kata wakil rakyat PKR itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berharap kerajaan dapat menambah jumlah peruntukan terbabit memandangkan jumlah penduduk di setiap kawasan Parlimen berbeza.

Wakil rakyat PKR itu juga berharap peruntukan berkenaan boleh diperluaskan lagi kepada jenis bantuan lain dan tidak hanya fokus bantuan bakul makanan.

“Peruntukan ini sebenarnya boleh ditambah baik kerana jika dilihat kepada faktor kawasan terutama di bandar, ramai miskin bandar yang memerlukan bantuan selain daripada bakul makanan. Ada yang memerlukan bantuan seperti komputer riba untuk proses pendidikan, bantuan bayaran utiliti dan pelbagai lagi,” katanya.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan dengan peruntukan ini namun berharap ia dapat ditambah paling kurang RM1 juta untuk setiap Parlimen,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui berpuas hati dengan Bantuan Bakul Makanan berjumlah RM300,000 yang diperuntukkan kepada setiap Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk diagihkan kepada golongan terjejas.

Peniaga air, Hairul Hazly Khairudin, 37, bantuan bakul makanan merangkumi beras, gula, biskut dan susu dapat meringankan beban mereka yang memerlukan.

Bagaimanapun, dia turut mencadangkan supaya diberi juga bantuan seperti sabun basuh baju, sabun mandi, ubat gigi atau syampu kerana ini juga keperluan harian penting. Mungkin mereka yang kurang berkemampuan kadang kala ada yang tidak membeli keperluan ini kerana merasakan tidak penting.Pembantu peribadi, Nurul Faizah Abdullah, 36, pula berkata Ahli Parlimen yang mendapat peruntukan untuk agihan bakul makanan perlu memastikan bantuan itu diberikan hanya kepada mereka yang benar-benar memerlukan sahaja.

“Agihkan mengikut saluran yang betul supaya tidak ada yang tercicir daripada senarai dan paling penting perlu jujur kerana banyak kes mereka yang tidak layak pun turut dapat,” katanya.

Bagi pelatih industri, Nur Shafiqah Shafirul, 20, pula dia mengakui berasa lega dengan pengumuman adanya bakul makanan. Bantuan seperti ini memang dapat meringankan beban mereka yang benar-benar memerlukan terutama dalam keadaan pandemik ketika ini.

“Ramai yang kehilangan pekerjaan ketika ini, jadi bantuan makanan seperti ini memang antara yang ditunggu mereka yang memerlukan,” katanya.

Pekerja swasta, Jumiati Arif, 34, pula berkata memang bantuan seperti bakul makanan ini sangat membantu mengurangkan beban sara hidup terutama golongan yang terjejas pendapatan dan hilang punca pendapatan akibat pandemik ini.

Namun paling penting, katanya, hendaklah dipastikan bantuan itu diagihkan secara adil dan berkesan serta hanya diberikan kepada mereka yang memerlukan sahaja.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*