BERNIAGA sambil bersedekah.
Konsep ini lazim diamalkan oleh kebanyakan usahawan ataupun peniaga yang sudah mempunyai nama yang besar sebagai satu usaha mereka berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.
Bagi peniaga burger, Mohamed Asiff Mohamed Amiz, sungguhpun mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan namun dia tetap terpanggil untuk sama-sama berkongsi rezeki mengikut cara tersendiri.
Mohamed Asiff (kiri) dibantu oleh adiknya, Mohamed Ariff.
Memegang kata-kata percaya kepada rezeki yang dikurniakan Allah, Mohamed Asiff yang mengusahakan Asip Burger Bachang tidak lokek untuk memberikan burger percuma jika ada antara pelanggannya tidak mempunyai wang.
Malah dia turut meletakkan notis di kabin burger miliknya untuk mengwar-warkan inisiatif ‘burger percuma’ kepada pelanggan.
“Sebenarnya sudah lima tahun saya buat inisiatif ini. Mula-mula dalam circle kecil saja di kawasan kejiranan tempat saya berniaga. Hanya dua tahun lepas baru saya mula letak notis.
“Tercetus idea untuk bersedekah ini adalah daripada kisah pelanggan juga. Sebagai peniaga, kita boleh ‘baca’ customer tu macam mana.
“Lagi pula customer pun orang dekat-dekat sini, ada antaranya kita kenal dan tahu latar belakangnya. Contohnya dia ada anak ramai, tapi beli burger tiga biji saja.
“Kadang ada anak-anak pelanggan terlepas cakap nak order sekian-sekian tapi bapanya mungkin tak cukup wang dan tak boleh beli kuantiti banyak. Saya akan cuba beri burger lebih daripada yang dipesan,” kata lelaki berusia 34 tahun ini.
Gerai Mohamed Asiff terletak di Taman MGBM, Bachang, Melaka.
Tambah bapa kepada empat cahaya mata ini, kebiasaannya dia berdepan dengan situasi sedemikian menjelang pertengahan dan juga hujung bulan.
“Saya sedar kebanyakan orang kita segan meminta… tapi kita faham situasinya. Sebab itu juga tujuan letak notis ini.
“Ia untuk orang-orang sekeliling yang betul-betul dalam kesusahan. Hanya saya dan orang yang menerima sahaja yang tahu.
“Saya tak keseorangan… pelanggan-pelanggan tetap tahu dengan inisiatif ni selalu tinggalkan duit balance lepas bayar. Dengan duit balance itulah saya gunakan untuk tampung belanja projek ni.
Saya risau juga ada orang ambil kesempatan dan jika ada yang meletakkan high expectation. Namun saya berterima kasih di atas semua komen positif netizen.
MOHAMED ASIFF MOHAMED AMIZ
PEMILIK ASIP BURGER BACHANG
“Selain itu ada juga hamba Allah yang baik hati berikan sumbangan. Tapi jika tiada, saya sedia gunakan dana sendiri hasil jualan setiap hari. Kami fokus kepada sales, sebab itu harga burger kami sangat affordable,” ujarnya yang sudah mengusahakan perniagaan burger sejak 2007.
Asip Burger Bachang terletak di Taman MGBM, Bachang, Melaka menjual pelbagai jenis burger dalam lingkungan harga RM3 hingga RM5.50.
Buat masa ini, gerai burger Mohamed Asiff yang turut menjual oblong, roti john, bebola daging serta minuman dibantu oleh adik lelakinya, Mohamed Ariff, 30.
Burger dan makanan di gerai Mohamed Asiff dijual pada harga yang berpatutan.
Sama sekali tidak menyangka perniagaan burgernya tular di media sosial, Mohamed Asiff melahirkan penghargaan kepada netizen yang memuji inisiatif kecil yang diusahakannya.
“Saya tak post tapi ada pelanggan yang nampak notis ni dan muat naik. Tiba-tiba sudah viral. Sejujurnya saya risau dengan benda viral ini sebab saya mulakan untuk circle yang kecil.
“Saya risau juga ada orang ambil kesempatan, dan tentunya risau jika ada yang meletakkan high expectation. Namun saya berterima kasih di atas semua komen positif netizen.
“Ada juga yang terinspirasi dan nak lakukan perkara sama dalam bisnesnya. Alhamdulillah, sama-sama kita kongsi rezeki. Bagi saya, tak perlu berkira. Bila tak berkira, rezeki akan datang dalam pelbagai bentuk insyaAllah,” ujarnya lagi.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook
Sumber:Mstar
Leave a Reply