Harus Renjis, Bilas Kenderaan Dengan Air Ruqyah – Mufti

Baru-baru ini, tular satu video di laman X memaparkan seorang ulama dari Pattani Thailand sedang merenjis air pada semua kenderaan berwarna putih.

Menerusi video tersebut, kelihatan ulama berkenaan merenjis air bermula dari bahagian sisi kereta.

Tindakan ulama berkenaan bagaimanapun mengundang persoalan orang ramai adakah perbuatan itu boleh dilakukan di dalam Islam. Ini kerana ada yang berpendapat tindakan itu sebagai khurafat kerana ia tidak pernah dilakukan Nabi SAW.

Hukum merenjis atau membilas kenderaan dengan air dibaca ruqyah mengandungi ayat al-Quran dan zikir adalah dibenarkan dan diharuskan dalam syarak, jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

“Setiap umat Islam dituntut untuk berikhtiar menjaga diri, keluarga dan hartanya daripada sebarang perkara yang tidak diingini seperti kecurian, kemalangan dan penyakit ain.

Sesuatu perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi SAW dan sahabat tak semestinya haram

Jelasnnya, hujah mengenai sesuatu perkara atau perbuatan itu tidak dilakukan oleh Nabi SAW serta para sahabat tak boleh diterima. Ini kerana tidak semestinya sesuatu perkara yang ditinggal oleh mereka itu menjadi haram.

Malah banyak perbuatan yang tidak dilakukan oleh Nabi SAW dan sahabat tetapi masih dalam hukumnya yang asal iaitu sunat dan harus.

“Setiap umat Islam dituntut untuk berikhtiar bagi menjaga diri, keluarga dan hartanya dari sebarang perkara yang tak diinginkan seperti kecurian, kemalangan dan penyakit seperti ‘ain’ dan seumpamanya.

“Berkaitan penyakit al-‘ain secara khusus, Nabi SAW pernah menyebut bahaya penyakit ‘ain ini merupakan sesuatu yang benar dan apabila seseorang diminta untuk mandi bagi menyembuhkan penyakit itu, maka hendaklah dia mandi,” katanya dalam laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Sabda Baginda SAW:

الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَىْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا

Yang bermaksud: Penyakit al-‘Ain itu benar. Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjangkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka hendaklah kamu mandi (Riwayat Muslim 5831).

Penyakit ain boleh kena pada benda yang tak bernyawa

Selain itu, sebahagian ulama turut mengatakan penyakit ‘ain juga menimpa kehidupan lain seperti haiwan termasuklah benda yang tak bernyawa seperti kereta, batu dan seumpamanya.

Katanya lagi terdapat banyak cara untuk melindungi diri dari penyakit ‘ain antaranya membaca ruqyah serta doa.

“Ibn Kathir dalam tafsir menyebut bahawa sebahagian daripada salaf, apabila mereka melihat sesuatu yang menakjubkan mereka, mereka akan menyebut ما شاء لا قوة إلا بالله’.

“Salah satu bentuk usaha dan ikhtiar juga adalah dengan memandikan atau membilas dengan air berdasarkan sabda Nabi SAW, ‘jika diminta kepada kamu untuk mandi (bagi penyembuhan, maka hendaklah kamu mandi’. Hal ini juga diharuskan dengan cara merenjis-renjis air kepada perkara yang tak bernyawa seperti rumah dan sebagainya.”

Merujuk Mausu’ah Syar’iyyah Fi Ilm al-Ruqa boleh juga membaca seperti zikir, wirid, serta ta’awwudz pada air sebelum direnjiskan pada rumah yang ada jin atau syaitan.

Cara itu boleh menjauhkan mereka daripada tempat tersebut dengan izin Allah SWT. Ini kerana Allah SWT Maha Memberi kesembuhan.

 

|Sumber: BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*