Anak Tak Simpan Dendam, Bapa Tak Sengaja Simbah Asid Sewaktu Bergaduh Dengan Ibu

Perselisihan faham antara ibu dan bapanya yang berlaku 14 tahun lalu sehingga menyebabkan wajahnya cacat kerana terkena percikan cecair dipercayai asid tidak membuatkan Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan berdendam dengan mereka.

Insiden yang tidak disengajakan oleh bapa dan ibunya masih segar dalam ingatan Nurul Dahyatul Fazlinda, 22, kerana parut itu kekal hingga kini.

Bapa tak sengaja simbah asid

Lebih menyedihkan apabila dia tidak mengetahui bahawa bapanya membawa pulang sebungkus plastik berisi cecair yang dicampurkan dengan minyak enjin motosikal.

Gadis berusia 22 tahun itu berkata, insiden antara ibu dan bapanya telah menyebabkan wajahnya cacat kerana terkena percikan cecair dipercayai asid, namun ia berlaku tanpa sengaja.

“Saya tidak pernah pun berdendam dengan ayah. Selepas kejadian itu, mereka bercerai dan kami adik-beradik duduk dengan mak,”kongsinya.

Kredit Foto: Sinar Harian | Nurul Dahyatul Fazlinda (kanan) bersama adiknya, Mohd Irfan (dua dari kanan) ketika Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

Berlaku sekelip mata, adik pun terkena

Disoal mengenai kejadian yang berlaku, Nurul Dahyatul Fazlina berkata, pertengkaran antara ibu dan bapanya berlaku di ruang tamu.

Pada ketika itu, dia bersama tiga adik-beradik yang lain berada di bilik tidur. Namun, perkara tidak diingini berlaku sekelip mata apabila dia dan adik, Mohd Irfan, 16, cuba menjenguk keadaan ibu bapa mereka.

Ceritanya, dia melihat bapanya memegang satu bungkusan plastik yang ada cecair di dalamnya dan orang tuanya cuba berebut bungkusan tersebut.

“Ibu dan ayah cuba berebut bungkusan tersebut sehingga menyebabkan bungkusan plastik itu pecah dan kami terkena percikan cecair yang sebenarnya asid dicampur dengan minyak enjin,” ujarnya.

Kredit Foto: Sinar Harian |Nurul Dahyatul Fazlinda (kiri) bersama ibunya Che Ku Zaimah (tengah).

Akibat kejadian itu, dia mengalami cedera parah pada bahagian muka dan mata, manakala adiknya dan ibu, Che Ku Zaimah Che Ku Awang turut mengalami kecederaan.

“Waktu cuti sekolah dulu memang kami akan balik ke rumah ayah,” katanya ringkas

Sementara itu, ayahnya dimasukkan ke dalam penjara dan telah dibebaskan pada 2017.

Diri makin pulih meski kurang yakin jumpa orang

Anak kedua daripada empat beradik itu memaklumkan dirinya semakin pulih dari segi mental dan fizikal walaupun masih kurang berkeyakinan untuk berjumpa dengan orang lain.

Dia kini sedang menjalani rawatan dengan pakar pembedahan plastik di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

“Rawatan yang saya terima ini melibatkan pengisian lemak di hidung sebanyak empat kali supaya pembedahan plastik di hidung nanti berjalan lancar.

“Saya sukar bernafas sekiranya tengah demam atau selesema yang teruk,” jawabnya ringkas.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Era TV

Sumber: OMM

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*