Mayat Wanita Ditemui Dalam Perut Ular Sawa Sepanjang 5 Meter

Mayat seorang wanita ditemui di dalam perut seekor ular sawa sepanjang 5 meter di Desa Kalempang, Sidrap, Sulawesi Selatan sekitar jam 9 pagi waktu tempatan, pada Jumaat.

Menurut detikcom, kejadian ini menggemparkan penduduk di kampung tersebut dan menjadi tular di media sosial.

Mangsa yang berusia 50 tahun itu telah dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah pada Khamis.

“Betul, ada penduduk maut ditelan ular sawa. Mangsa pergi ke kebun pada hari Khamis selepas meminta izin dari suaminya. Suami mangsa rasa pelik apabila mangsa tidak pulang ke rumah lalu menghubungi saudara isterinya namun tiada siapa yang ada bersama isterinya (mangsa),” kata Ketua Desa Kalempang, Suardi Rosi.

Suami mangsa, 55, mengesyaki sesuatu terjadi kepada isterinya lalu keluar mencarinya pagi tadi. Ketika pulang dari kebun, beliau menjumpai barang milik isterinya namun mangsa tidak kelihatan.

“Suaminya menemui barang yang dibawa mangsa berada di atas jalan namun isterinya tidak ada di situ. Dia terus memberitahu orang kampung tentang kehilangan isterinya dan meminta bantuan untuk mencarinya.

“Selain suami mangsa, sepasang suami isteri yang hendak ke desa dari kawasan kebun juga menemui barang milik mangsa. Kedua-duanya terus beritahu penduduk,” kata Suardi.

Sekitar jam 9.00 pagi, orang kampung menemui seekor ular sawa sepanjang 5 meter di lokasi penemuan barang milik mangsa. Mengesyaki mangsa telah ditelan ular sawa, mereka mengikat ular sawa tersebut lalu membelah perutnya.

“Ular sawa yang ditemui di lokasi tersebut dalam keadaan perut yang membuncit dan ia disyaki telah menelan mangsa. Apabila ular dibelah, mayat mangsa ditemui di dalam perut ular terbabit,” ujarnya lagi.

Setelah mayat dikeluarkan dari perut ular sawa itu, mayat dibawa ke rumah keluarganya di Kabupaten Sidrap untuk proses pengebumian.

Sumber: detikcom, siakap keli

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*