Wujud Percanggahan Keterangan Antara Saksi Dan Ibu Bapa Zayn Rayyan

PERKEMBANGAN terbaharu kes Zayn Rayyan, kanak-kanak autisme yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai, Disember tahun lalu menggemparkan negara.

Manakan tidak, penahanan reman kedua ibu bapa mangsa sejak minggu lalu menjadi buah mulut warganet.

Ada juga yang menjadi ‘terpaling hakim’ apabila menjatuhkan hukuman bersalah kepada pasangan suami isteri itu.

Meninjau di berapa platform media sosial, ramai yang beranggapan penahanan ibu bapa kanak-kanak malang itu bertujuan untuk mengalih perhatian daripada kes-kes yang tular ketika ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya sedang menjalankan semakan teliti ke atas kes ekoran terdapat percanggahan keterangan daripada saksi dan ibu bapa Zayn Rayyan.

“Ada perkara perlu disemak semula, wujud perkara yang tidak selari dengan keterangan saksi sehingga menjurus kepada tangkapan ibu bapa Zayn Rayyan.

“Sambungan reman enam hari ke atas ibu bapa Zayn Rayyan akan digunakan untuk selesaikan siasatan, termasuk melihat semula beberapa aspek kes seperti keterangan saksi dan bukti fizikal,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Tambah Hussein, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada pertuduhan di mahkamah akan dibuat atau lebih banyak tangkapan dilakukan, ia bergantung kepada hala tuju siasatan dalam masa enam hari ini.

“Setakat ini kita sudah dapatkan keterangan pengasuh dan dua ahli keluarga.

“Terlalu awal untuk buat sebarang kesimpulan, kes masih dalam siasatan. Kita akan lengkapkan dulu kertas siasatan sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya.

“Untuk masa ni, berikan ruang kepada pihak polis untuk jalankan siasatan. Tidak wajar memberikan butiran terperinci yang boleh mengganggu siasatan.” ujar Hussein.

Menurut Hussein, perjumpaan peguam dengan ibu bapa Zayn Rayyan dalam tempoh reman ini bergantung kepada budi bicara polis.

“Polis akan tentukan sama ada peguam boleh berjumpa dengan ibu bapa Zayn Rayyan dalam tempoh atau selepas reman itu,” jelasnya.

Untuk makluman, tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan akan tamat pada 12 Jun.

Pada 6 Disember tahun 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor, pada 10 malam.

Mayat mangsa ditemukan oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemukan terbaring di sungai itu yang jaraknya kira-kira 200 meter dari kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Era TV

Sumber/ Kredit : Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*