”Banglo Sharifah Aini Wangi, Tiada Secalit Habuk, Ada Surau Untuk Majlis Agama…” -Wartawan

BANYAK pihak meluahkan rasa kesal kerana rumah Allahyarham Datuk Sharifah Aini sudah dijual dan dirobohkan tanpa ada sebarang usaha daripada kerajaan untuk memelihara tinggalan Biduanita Negara itu.

Walaupun sudah terlambat untuk menyelamatkan banglo terletak di Petaling Jaya itu, mereka berharap kerajaan dapat mewujudkan sebuah galeri khas untuk mengenang jasa dan sumbangan Sharifah Aini kepada dunia seni negara.

Kebanyakan wartawan yang pernah mengunjungi kediaman Allahyarham memuji keindahan banglo itu kerana sentuhan dekorasi, susun atur perabot dan barangan peribadi di dalamnya, dilakukan sendiri oleh Kak Pah.

“Rumah artis yang paling cantik pernah saya lihat” – Roslen Fadzil

Menurut Roslen, setiap ruangan banglo itu dihiasi perabot mewah yang mendapat sentuhan susun atur penyanyi lagu Seri Dewi Malam itu sendiri.

Kata Slen, antara ruang istimewa yang terdapat di kediaman tersebut adalah tempat beribadat atau surau yang luas bagi meraikan anak-anak tahfiz dan yatim piatu dalam setiap acara keagamaan yang dianjurkan.

“Saya boleh katakan rumah arwah adalah rumah artis yang paling cantik pernah saya lihat dan paling bersih. Itu signifikannya, cantik, bersih, kemas dan terjaga.

Beliau mempunyai ramai anak angkat dalam kalangan anak-anak tahfiz dan yatim piatu

“Ketika hayatnya, beliau mempunyai ramai anak angkat dalam kalangan anak-anak tahfiz dan yatim piatu.

Sharifah Aini ini juga jarang keluar rumah, beliau sangat eksklusif. Aktivitinya semua di rumah dan dalam rumahnya yang besar itu dimanfaatkan sebuah ruang yang dijadikan surau.

“Boleh dikatakan setiap minggu atau setiap kali perayaan seperti Tahun Baharu Islam atau Maulidur Rasul, beliau akan menganjurkan aktiviti keagamaan di surau tersebut dengan membawa anak-anak yatim,” katanya.

Banglo tersebut mempunyai sembilan bilik tidur, tujuh bilik air, dewan acara, lima ruang tamu, kolam ikan, bilik pembantu rumah serta dilengkapi dengan perpustakaan dan dua dapur.

Pada Mei lalu, proses merobohkan banglo seluas 20,000 kaki persegi (1,858 persegi) giat dilakukan dan kini kediaman milik biduanita negara itu hanya tinggal timbunan runtuhan selepas pihak yang membeli kediaman itu berhasarat menjadikannya sebagai tapak projek perniagaan.

Untuk rekod, Sharifah Aini menghembuskan nafas terakhir di Pusat Pakar Damansara, Selangor pada usia 61 tahun pada 5 Julai 2014.

 

Sumber: MStar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*