KLUANG: Penoreh getah wanita warga emas yang maut selepas diserang gajah liar ketika menoreh getah dalam kebun di Jalan Felcra Batu 29, Kahang di sini, kira-kira jam 8 pagi tadi, diperlakukan seperti bola oleh hidupan liar itu.
Penduduk kampung, Nor Hassan Mohd Doom, 62, berkata seorang pekerja Indonesia berlari mendapatkan pertolongannya selepas melihat mangsa yang terbaring sendirian dikerumuni kawanan 10 ekor gajah kira-kira jam 7 pagi.
“Pekerja Indonesia itu melihat mangsa yang terbaring sudah digolek-golek dengan kaki oleh gajah. Berikutan sendirian, dia yang ketakutan bergegas memanggil saya yang kebetulan berada di pondok berdekatan.
“Ketika kami bergegas ke lokasi kejadian, kumpulan gajah itu sudah beredar, meninggalkan mangsa tercungap-cungap meminta tolong. Melihat keadaannya itu, saya bergegas memanggil suaminya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Suami mangsa, Sugianto Giman, 64, yang juga warga Indonesia, berkata Nor Hassan tiba di rumahnya terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian dengan sebuah Perodua Kancil.
“Saya terperanjat apabila Hassan beritahu yang isteri dipijak gajah, sebelum kami bergegas ke tempat kejadian.
“Sejurus tiba, saya nampak isteri terbaring dan mengangkat tangan. Dia merintih kesakitan ketika saya angkat ke kereta Hassan sebelum kami membawanya ke Klinik Kesihatan Kahang.
“Ketika berada dalam pangkuan sepanjang perjalanan ke klinik, saya sempat ajar isteri mengucap dua kalimah Syahadah. Ketika tiba di klinik, kami dapati ia tutup, sementara itu isteri saya semakin lemah sebelum meninggal dunia dalam ribaan saya,” katanya.
Sugianto berkata, dia memeriksa seluruh tubuh badan isterinya itu tetapi tidak merasa kesan patah tulang, melainkan tubuhnya sudah longlai.
“Saya tak nampak ada luka atau cedera di badannya,” katanya.
Katanya, isterinya berpakaian seperti biasa untuk menoreh getah termasuk kasut dan pergi kerja dengan menunggang motosikal bersendirian.
Katanya, isterinya tak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum ini dan sempat menyediakannya sarapan roti canai segera.
Beliau berharap, pihak berkuasa dapat berbuat sesuatu bagi menangani ancaman gajah di kawasan berkenaan agar nasib malang menimpa isterinya itu tidak berulang kepada orang lain.
Kumpulan gajah terbabit dipercayai datang dari kawasan ladang sawit terletak berdekatan kebun getah tempat mangsa bekerja.
Ketika ini, pokok sawit terbabit sedang ditebang serta dicincang dan sejak sebulan lalu, kawasan itu menjadi tumpuan kawanan gajah mencari makan.
Sumber: Berita Harian
Leave a Reply