Budaya ‘senioriti’ bukan lagi perkara asing dalam lingkungan masyarakat kita. Baik di peringkat pendidikan mahupun pekerjaan, ia masih lagi berlaku malahan dianggap normal oleh sebilangan pihak.
Yang senior sentiasa merasa ‘berhak’ untuk memperlakukan junior mereka sesuka hati. Siapa menduga, Azmeer Yusof yang merupakan bekas atlet boleh sepak profesional turut pernah berdepan perkara sama.
Bekas pemain Kedah, Azmeer Yusof mendedahkan dia berdepan pelbagai siri ‘pembulian’ ketika bergelar pemain bola sepak profesional namun mengakui perkara itu menguatkan mentalnya untuk menghadapi pelbagai cabaran mendatang.
Menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, Azmeer berkongsi ‘cabaran’ yang dilaluinya sebelum bergelar pemain senior antaranya dipulau pemain sedia ada dalam pasukan namun pemain yang memulaukannya itu kemudiannya dibuang.
Tiket penerbangannya juga pernah dikeronyokkan dan dicampakkkan dalam tong sampah
Selain itu, tiket penerbangannya juga pernah dikeronyokkan dan dicampakkkan dalam tong sampah oleh pemain senior sebelum dia dipaksa untuk mengangkat semua beg pemain ke dalam ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Lebih menyedihkan, dia juga pernah ‘didajal’ oleh pemain yang hanya tua setahun daripadanya apabila saluran minyak ke karburetornya ditutup dan apabila dia melakukan pemeriksaan, tangannya terpegang batang ekzos sekali gus menyebabkan tangannya melecur.
Malah, Azmeer mengakui banyak lagi pembulian yang dilakukan namun dia gembira selepas melihat situasi itu tidak banyak berlaku ketika ini dan tidak ada jurang yang antara pemain junior dan senior.
Dia juga menegaskan betapa dia tidak melakukan perkara yang menyakitkan hati dan perasaan orang lain meskipun sudah bergelar pemain senior.
Banyak lagi yang kena sebenarnya, tak larat nak taip
Azmeer bagaimanapun menzahirkan kesyukuran dan berpendapat isu-isu sebegitu tidak banyak terjadi dalam arena bola sepak sekarang. ‘Sisi gelap’ budaya senioriti yang dihadapi bekas pemain pertahanan Kedah ini sebenarnya hanya sebahagian saja.
“Pembulian bukan satu bentuk pembelajaran. Tolong ubah persepsi tu. Saya tak terbelajar satu apa pun dari yang saya kena. Apa? Nak cakap mental saya tak kuat? Kuat tak kuat Alhamdulillah Allah izinkan saya berada dalam arena bolasepak sejak 2006 sehingga sekarang.
“Kadang-kadang yang kuat mental tu Allah tak izinkan pun untuk lama-lama bergelar pemain bolasepak. Tapi Alhamdulillah saya tengok sekarang ni dah tak banyak kes-kes macam zaman dulu. Dah takda dah gap antara junior dan senior.
“Ingat tau, gurauan dan pembulian dua perkara yang berbeza,” katanya.
Azmeer pada Disember 2020 ketika beraksi bersama Kedah mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak profesional kerana ingin menumpukan perhatian pada bidang perniagaan dan pembinaan pusat pengajian al-Quran di kampungnya di Kedah.
Namun setahun kemudian kembali ke padang apabila mengikat kontrak bersama kelab Liga M3, Budak Rumah Murah (BRMFC).
Bagaimanapun pada April 2022 beliau mengambil keputusan meninggalkan pasukan itu kerana ada komitmen peribadi yang tidak dapat dielakkan.
Sumber: Berita Harian, FB Azmeer Yusof
Leave a Reply